Pengambilan pelatih program pinjaman PTPK dan SLDN untuk lepasan sekolah

0

BINTULU: Kerajaan Negeri Sarawak melalui Urus Setia Tetap Majlis Pembangunan Sumber Manusia Lepasan Sekolah Sarawak di Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti (HRDQ) Jabatan Ketua Menteri akan mengadakan pengambilan pelatih bagi program pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) untuk pelajar-pelajar lepasan sekolah dari Sarawak.

Pengambilan pelatih itu adalah membabitkan kemasukan mereka ke dalam kursus-kursus latihan kemahiran yang ditawarkan di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) iaitu Penyedia Makanan, Pembantu Kaunter Hadapan, Pemandu Pelancong, Pastri, Elektronik Industri, Pramusaji, Juru-teknik Elektrik, Pembuat Pakaian Wanita, Mekanik Kenderaan Motor dan Pelukis Pelan Seni Bina.

Institut-institut yang me-nawarkan latihan itu ialah Kolej Yayasan Negeri Sembilan terdiri daripada Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan serta Sekolah Perhotelan dan Pelancongan Negeri Sembilan.

Syarat-syarat kemasukan adalah pelajar berumur 16 hingga 25 tahun, sihat tubuh, sanggup menjalani latihan sehingga tamat, boleh menulis dan mengira dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Tempoh latihan ialah selama enam hingga 12 bulan bagi program PTPK (SKM Tahap 1,2 dan 3) serta tiga bulan kelas dan sembilan bulan industri (12 bulan) bagi Program SLDN.

Tarikh tutup permohonan pada 30 November 2011. Borang permohonan yang sudah lengkap diisi boleh dihantar ke Pejabat Residen, Pejabat Daerah atau Unit HRDQ, Tingkat 12, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya Kuching.

Borang kemasukan boleh didapati di Unit HRDQ Ku-ching, Majlis Daerah Lawas, Pejabat Residen di Limbang, Bintulu, Miri, Kapit, Sarikei, Mukah, Betong, Sri Aman, Sibu dan Majlis Daerah Lawas, Pejabat Daerah Baram, Kapit, Belaga dan semua Pejabat Daerah di Sarawak.