Bayar bil kepada juruwang, kata Wong

0

Hanya juruwang di kaunter LAKU layak terima bayaran bil air daripada pelanggan

MIRI: Hanya juruwang kaunter pembayaran LAKU Management Sdn Bhd (LAKU) sahaja yang layak menerima pembayaran bil air daripada pelanggan syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LAKU Wong Tiong Kai berkata, juruwang telah diberi kuasa untuk menerima pembayaran daripada pelanggan, bukan dijelaskan kepada kakitangan LAKU yang lain.

“LAKU Management Sdn Bhd ingin mengingatkan orang awam bahawa tiada kakitangan LAKU Management Sdn Bhd, selain juruwang di kaunter-kaunter pembayaran kami diberi kuasa untuk mengutip pembayaran untuk LAKU,” jelas beliau.

Peringatan itu dikeluarkan dalam kenyataan akhbar yang difakskan ke pejabat Utusan Borneo Miri semalam.

Sehubungan itu juga, Wong mengingatkan orang awam khasnya pelanggan untuk menjelaskan pembayaran bil mereka di kaunter-kaunter LAKU dan kaunter Sistem Bayaran Bil Setempat (SBBS).

“Sekiranya ada orang awam yang didatangi kakitangan LAKU meminta pembayaran bil menerusi beliau, orang awam jangan sesekali melayan permintaan kakitangan berkenaan,” jelas kenyataan itu.

Wong menambah, masyarakat diminta mengemukakan nama kakitangan yang melakukan tindakan itu kepada pihak atasan LAKU dengan segera.

Pelanggan di Miri, Bintulu dan Limbang boleh terus melaporkan nama kakitangan itu kepada Pengurus Kawasan LAKU.

Mereka boleh menghubungi pejabat LAKU Miri di talian 085-442000, LAKU Bintulu (086-318111) dan LAKU Limbang (085-215633).