Jepun mahu belajar dari Malaysia

1

BAHAN LAMA...Pegawai pelajaran dari Jepun yang menyertai rombongan JICA meneliti bahan-bahan yang digunakan dalam sistem pendidikan di Maktab Sabah yang digunakan ketika awal penubuhan sekolah terbabit.

KOTA KINABALU: Sistem pendidikan Malaysia yang memberi penekanan kepada aspek pendidikan alam sekitar dan pembangunan mampan memberi inspirasi kepada Jepun untuk menjalin kerjasama dengan negara ini.

Pengarah Bersama dan Perunding Guru, Lembaga Pendidikan Daerah Yamanashi, Koji Inoue berkata, pengubahsuaian mungkin perlu dilakuksan pada sistem pendidikan Jepun dengan memberi penekanan kepada dua isu terbabit yang disifatkan amat penting.

“Jepun memerlukan perspektif baru terhadap perkara ini dan melihat keperluan menitikberatkan isu alam sekitar dan pembangunan mampan dalam pendidikan Jepun.

“Sebagai negara yang mengalami perkembangan perindustrian yang pesat, penting bagi Jepun untuk memberi lebih perhatian kepada dua subjek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di lawatan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) ke Maktab Sabah, di sini, kelmarin.

“Lawatan ini, adalah sebahagian usaha untuk mengetahuai tentang pendidikan alam sekitar dan pembangunan mapan di Malaysia memandangkan kami juga akan melawat sekolah di Semenanjung,” katanya yang berharap dapat mengumpul maklumat penting untuk peringkat seterusnya.

Maklumat terbabit, katanya, akan digunakan untuk membina jalinan kerjasama dengan Malaysia pada masa depan.

Kata Inoue, mereka juga akan bertemu dengan sukarelawan JICA di negeri ini untuk mengetahui perkembagan semasa usaha-usaha yang dilaksanakan.

“Kami akan ke Keningau untuk meninjau perkembangan kerja-kerja sukarelawan di sana dan kejayaannya setakat ini,” katanya yang menambah, ini merupakan lawatan rasmi pertama mereka ke negeri ini.

Kelmarin, seramai 14 pegawai, penyelidik, perunding guru, penyelia dan penasihat dari kementerian, institut, pusat dan lembaga pendidikan Jepun berkunjung ke Maktab Sabah sebagai salah satu destinasi untuk mengenali sistem pendidikan di negara ini.

Selain tarian tradisional, rombongan dari Jepun turut didedahkan dengan sejarah dan perkembangan Maktab Sabah yang ditubuhkan pada 1957 dan merupakan antara sekolah tertua.

Selain aspek alam sekitar, lawatan ini bermatlamat mengenali kekayaan budaya dan keunikan masyarakat Sabah.

Rombongan akan berada di negeri ini selama tiga hari sebelum meneruskan lawatan mereka ke Semenanjung.