RCI perlu ditubuhkan tangani PTI , kata Bumburing

0

RASMI... Bumburing memalu gong sebanyak 13 kali sebagai simbolik perasmian mesyuarat itu.

KOTA KINABALU: Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menangani isu pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini dengan kadar segera.

Timbalan Presiden Upko Nasional, Datuk Seri Panglima Wilfred M Bumburing berkata RCI ditubuhkan untuk menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock dan kenapakah ia tidak boleh ditubuhkan untuk menyiasat isu PTI di Sabah.

Katanya, jika perkara ini dibiarkan sudah tentu ia akan menjadi isu utama dalam pilihanraya akan datang dan sebagai parti komponen Barisan Nasional harus berhadapan dengan isu berkenaan.

“Satu memorandum mengenai perkara ini sudah dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri tidak lama dahulu dan saya akan tanya sekali lagi perkara ini pada sidang Parlimen akan datang kepada kementerian yang sama kenapa sehingga kini belum mempunyai jawapan yang sahih.

“Kalau ada jawapan yang menyatakan kementerian telah mengkaji kandungan memorandum itu saya boleh terima sebagai individu tetapi pendirian Upko tetap tidak berubah dan mahukan penubuhan RCI terhadap isu PTI ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Komulakan Upko 2011 di sini kelmarin.

Bumburing berkata, apa yang rakyat mahukan adalah menuntut keadilan dan kesaksamaan dalam banyak aspek seperti ekonomi, sosial, agama dan sebagainya.

“Kita tidak menentang orang luar mencari nafkah di negeri ini secara halal dan sah, tetapi kita tidak boleh nafikan bahawa semua rakyat Sabah inginkan kerajaan menangani isu PTI dengan segera.

“Kalau proses mendapatkan kad biru itu dibuat secara sah maka ia tidak mendatangkan masalah kepada kami, tetapi kalau pengeluaran kad biru ini dipertikaikan, maka kita berhak sebagai rakyat Malaysia di Sabah meminta pemerintah negara ini agar menyelesaikan masalah PTI dengan segera.

“Satu ketika dahulu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah pernah mengatakan bahawa tidak ada satu pun kad biru dikeluarkan kepada PTI, saya meminta di Parlimen kepada menteri yang bertanggungjawab untuk mengesahkan adakah perkara itu benar dan jawapan yang diberikan adalah benar.

“Menteri berkenaan juga menyatakan bahawa jika ada perkara sedemikian terjadi sila sampaikan perkara ini kepadanya dan inilah dibuat oleh Upko tetapi sehingga kini saya belum mendapat jawapan dan hanya mengatakan bahawa memorandum yang dihantar itu ‘terlalu tebal’ dan perlu masa untuk mengkajinya,” katanya.

Menurut Bumburing, sebagai seorang pemerintah yang sayang kepada kedaulatan negara ini, sememangnya mempunyai tanggungjawab bagi menyelesaikan perkara itu dengan segera untuk kesejateraan hidup rakyat.

Katanya, rakyat perlu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana beliau dengan berani memperkenalkan Program Tranformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan kini Program Transformasi Politik dengan memansuhkan Akta ISA.

“Ini menunjukkan beliau berani berbuat demikian walaupun terdapat juga unsur-unusr dalam pentadbiran yang tidak bersetuju dengan perkara ini tetapi beliau akur dengan kehendak rakyat untuk memansuhkan ISA.

“Dalam konteks Sabah, saya berharap beliau terus bersikap berani dengan menubuhkan satu RSCI untuk menyelesaikan isu PTI di negeri ini,” tambahnya.