Bajet 2012 Kementerian Pertahanan dijangka tiada kenaikan peruntukan

0

IKHLAS: Dr Ahmad menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan tadika sempena majlis perasmian Kompleks Mutiara Pernama di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, semalam. Hadir sama ialah ialah (dari kanan) Panglima Tentera Darat Jen Datuk Zulkifli Zainal Abidin, Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali dan Ketua Pengerusi Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin. — Gambar Bernama

GEMAS: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak menjangkakan ada kenaikan peruntukan untuk Kementerian Pertahanan pada Bajet 2012 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Okt.

Beliau berkata, ini kerana pendekatan kementeriannya ialah menggunakan peruntukan sedia ada dan membuat pendekatan secara kreatif melalui kerjasama pihak awam dan swasta secara perkongsian.

“Untuk projek pembangunan, kita bekerjasama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui Perbadanan Perwira Harta. Jadi, ia tidak akan melebihi siling yang telah ditentukan untuk seluruh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Harapan kami supaya peruntukan yang kami kemukakan pada Bajet 2012 tidak akan dipotong…insyaAllah,” katanya selepas merasmikan Kompleks Mutiara Pernama Kem Syed Sirajuddin di sini semalam.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat Jen Datuk Zulkifli Zainal Abidin, Panglima 3 Divisyen, Mej Jen Datuk Razali Ahmad dan Pengerusi Pernama Jen Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mengharapkan ada penambahan peruntukan pada Bajet 2012 kerana kementeriannya faham dengan kekangan dan bebanan kerajaan.

“Kita berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dan kita amat berterima kasih jika ada hasrat untuk menambah peruntukan,” katanya.

Ditanya mengenai pembelian aset baru Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau berkata ia seperti yang telah dirancangkan.

“Umpamanya, semua pembelian yang dirancangkan dalam RMK-10 sebelum ini diteruskan, termasuk kapal pelbagai guna (MPV) generasi kedua untuk TLDM,” katanya.

Kompleks Mutiara Pernama Kem Syed Sirajuddin berharga hampir RM10 juta didirikan di kawasan seluas 0.64 hektar, berdekatan dengan kawasan perumahan anggota tentera dan mula beroperasi pada 12 Sept tahun lepas.

Ia setinggi tiga tingkat dengan menyediakan 22 ruang perniagaan dan pasar raya Pernama, selain itu terdapat juga medan selera untuk enam gerai makanan.

Antara perkhidmatan yang disediakan di kompleks itu ialah perkhidmatan kedai keluarga, kedai gunting rambut, kedai jahit, kedai dandan rambut, kedai basikal, kedai telefon bimbit dan kedai emas.

Turut disediakan di kompleks tersebut ialah perkhidmatan kafe siber, pusat snuker dan biliard, taman permainan kanak-kanak, bilik karaoke dan sebuah gelanggang futsal.

Kompleks ini juga dilengkapi sebuah bank iaitu Affin Bank untuk urusan perbankan anggota tentera. — Bernama