Tuesday, November 24

Rakyat Samarahan bertuah dapat menikmati pembangunan yang pesat

0

GAYA PEMIMPIN: Adenan (kiri) Mohammad Ali (tengah) dan Awang Tengah (kanan) tersenyum diarak menggunakan perahu Sri Muara Tuang pada majlis Ramah-tamah Aidilfitri di Dewan Suarah Kota Samarahan, malam Ahad lalu.

KOTA SAMARAHAN: Rakyat di kawasan Samarahan sememangnya amat bertuah dapat menikmati pembangunan yang pesat di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata pembangunan pesat yang berlaku di sini bukan sahaja dari segi ekonomi malah pendidikan, pertanian dan sebagainya.

“Kita akui Samarahan akan terus membangun dengan pelbagai projek pembangunan dan prasarana serta bakal menjadi sebuah bandar moden,” katanya berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Muara Tuang di sini malam kelmarin (Ahad).

Adenan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang berkata kepesatan pembangunan itu membolehkan rakyat di sini hidup dengan lebih selesa dan harmoni.

Beliau menarik perhatian bahawa era pembangunan Samarahan dahulu dan pada masa sekarang amat jauh berbeza setelah banyak program pembangunan dilaksanakan.

“Saya percaya rakyat di sini akan terus menikmati pembangunan yang lebih mapan pada masa akan datang selagi mereka memberikan sokongan padu kepada BN,” katanya.

Hadir sama Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bekas Speaker Dewan Negara Tan Sri Ahmad Urai, ADUN Muara Dato Sri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Sebuyau Julaihi Narawi, ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan ADUN Kedup Martin Ben.

Terdahulu, Mohammad Ali dalam ucapannya berharap penduduk di kawasan Muara Tuang akan terus mengukuhkan perpaduan dan bekerjasama dalam meningkatkan arus pembangunan.

Menurutnya, segala propaganda pihak pembangkang yang hanya muncul ketika musim pilihan raya adalah satu dakyah mereka yang mahu memecah belah perpaduan rakyat.

“Saya yakin dengan semangat dan sokongan jitu rakyat di sini kita akan terus memberi kejayaan besar kepada BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Pelbagai acara menarik disajikan pada majlis itu seperti nyanyian lagu-lagu Hari Raya dan persembahan kebudayaan.

Pada majlis itu tiga tetamu kehormat iaitu Adenan, Mohammad Ali dan Awang Tengah diarak oleh penduduk dengan perahu hiasan khas ‘Sri Muara Tuang’ yang muncul tempat ketiga dalam Regata Sarawak 2011 di Tebingan Kuching, baru-baru ini.