Transformasi pastikan SABERKAS relevan

0

JAMU SELERA: Abang Johari, Lee dan Ahmad Lai mengambil hidangan semasa Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran SABERKAS di Dewan Permaisuri, Bandar Baru Permyjaya malam kelmarin.

Wajib kira-kira 70 peratus golongan belia dalam jawatankuasa exconya mulai tahun ini

MIRI: Proses transformasi dengan mewajibkan kira-kira 70 peratus golongan belia dalam jawatankuasa exco Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) mulai tahun ini adalah wajar bagi me-mastikan ia terus relevan dengan peredaran semasa.

Presidennya, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, SABERKAS memerlukan golongan muda yang agresif untuk membawa angin perubahan dalam pertubuhan seterusnya memacu pembangunan negeri.

“Kita mahu, lebih ramai golongan belia dilatih dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan dan SABERKAS adalah landasan yang baik untuk kita mencapai hasrat itu.

“Saya percaya, latihan awal bukan sahaja dapat memperkasa SABERKAS, namun pada masa yang sama melatih mereka menjadi pemimpin pelapis,” katanya berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri di Dewan Permaisuri, Bandar Baru Permyjaya malam kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin, Residen Miri Antonio Kahti Galis dan ketua-ketua masyarakat.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar menambah, malah beliau sendiri dilatih begitu lama dalam SABERKAS sehingga beliau mengambil alih jawatan presiden daripada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa rombakan ini membabitkan 70 peratus ahli yang berusia 45 tahun ke bawah manakala 30 peratus lagi ahli dalam Exco pula berusia 45 tahun ke atas.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua peringkat atau unit SABERKAS di seluruh negeri sama-sama menyahut seruan untuk berubah dan memainkan peranan untuk memantapkan SABERKAS.

Sementara itu, majlis berkenaan dijayakan oleh 15 unit SABERKAS dari bahagian Miri dan dihadiri lebih 300 tetamu.