Penghakiman pertandingan ADC di Betong bermula

0

PENGHAKIMAN: Dr Anthony (tengah) bersama para hakim dan pihak urus setia selepas majlis penghakiman pertandingan ADC di Daerah Kecil Kabong dekat Sri Aman, semalam.

SRI AMAN: Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) bagi tahun 2011 bermula penghakimannya melibatkan dua buah kampung di kawasan Kabong dalam Bahagian Betong, dekat sini semalam.

Kampung-kampung yang dilaksanakan penghakimannya ialah Kampung Melayu Sungai Endot dan Kampung Gerigat, masing-masingnya mewakili Daerah Kecil Kabong.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Residen Bahagian Betong, Dr Anthony Valentine Laiseh merangkap Ketua Hakim ADC tahun ini menyifatkan pertandingan tersebut sebagai platform ke arah mewujudkan kampung yang dinamik dan berdaya tahan dan maju dalam semua bidang pembangunan.

Jelasnya, sokongan dan sambutan penduduk kampung semasa proses penghakiman amat menggalakkan.

Katanya lagi, ini membuktikan bahawa ada perubahan transformasi minda masyarakat

ke arah minda celik pembangunan.

Objektif pertandingan ADC tahun ini ialah untuk menilai tahap kemajuan sesebuah kampung, di samping memangkin kepimpinan dan kemajuan kampung serta memberi pengiktirafan kepada kampung tersebut.

Justeru, katanya, mana-mana kampung yang berjaya dalam pertandingan ini akan menjadi ‘role model’ kepada kampung-kampung lain.

Hadiah pertandingan ADC peringkat daerah tahun ini ialah sebanyak RM4,000 untuk johan, RM2,000 untuk naib johan dan tempat ketiga bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500.

Kampung yang menang di peringkat daerah akan mewakili daerah/bahagian masing-masing ke peringkat negeri pada tahun ini.

Penghakiman peringkat kedua akan bermula pada 27 September di Rumah Juliana Bedus, Kamidan Jaya dan Rumah Robert Lin, Kedap sebelum menyusur Rumah Mara dan Rumah Banggai, Serudit serta Rumah Randi, Entanak Betong.

Turut serta dalam penghakiman tersebut ialah Penyelia-penyelia KEMAS Daerah Betong/Saratok selaku urus setia ADC bagi tahun 2011.