Hadapi cabaran bentuk moden

0

TAIB

Agensi di bawah k’jaan negeri bakal menyaksikan pembaharuan

KUCHING: Tiga agensi di bawah kerajaan negeri bakal menyaksikan pembaharuan dan penstrukturan semula sebagai persediaan menghadapi cabaran bentuk moden dalam bidang sosial dan politik pada masa akan datang.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tiga agensi itu ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian serta Kerajaan Tempatan dengan proses pembaharuan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan berterusan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Perubahan ketiga-tiga agensi ini melibatkan penyusunan semula organisasi dan fungsinya.

“JKR misalnya ketika ini dalam proses penstrukturan semula bagi membolehkan kerajaan melaksana projek pembangunan dengan lebih berkesan pada masa akan datang.

“Sebelum ini semua projek pembinaan jalan raya dilaksanakan oleh JKR tetapi sekarang sudah ada kaedah baru dalam pelaksanaan projek-projek ini antaranya menerusi penglibatan syarikat swasta,” katanya ketika mengumumkan barisan kabinet negeri yang baru di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

Taib berkata perubahan baru itu juga katanya akan membolehkan JKR merancang bersama projek pembangunan fizikal dalam tempoh lima tahun dengan agensi-agensi lain berkaitan.

Beliau menambah, JKR akan berdepan tugas yang lebih sukar pada masa akan datang disebabkan kos pembinaan sentiasa berubah berbanding sebelum ini, menuntut jabatan itu membuat anggaran pembinaan projek fizikal dengan tepat.

Sementara itu bagi Jabatan Pertanian beliau memberitahu, penekanan akan lebih diberikan kepada usaha memajukan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) secara estet.

“Sekarang Jabatan Pertanian perlu memfokus kepada pembangunan tanah NCR memandangkan ramai pemilik tanah tidak mahu menukar status tanah mereka kepada zon bercampur jadi penyelesaian terbaik ialah memperkenalkan perladangan secara estet.

Pada masa sama katanya, jabatan itu perlu melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutamanya tanaman baru bagi memastikan penanamannya benar-benar membawa keuntungan kepada petani.

Bukan itu sahaja katanya jabatan berkenaan harus berperanan sebagai penyelesai kepada masalah dihadapi petani di negeri ini untuk memasarkan produk pertanian mereka.

“Bagi Kerajaan Tempatan pula, kita mahu semua pihak berkuasa tempatan mempunyai konteks (hubungan) dengan masyarakat khususnya di peringkat akar umbi.

“Sekarang masyarakat akar umbi merujuk kepada kaunselor (ahli majlis) kerana kualiti orang yang menyandang jawatan itu sekarang lebih baik berbanding sekarang malah ada yang mahu menjadi kaunselor kerana mahu berkhidmat kepada rakyat bukan kerana politik semata-mata,” ujarnya.

Beliau berkata, untuk ahli-ahli majlis kerajaan tempatan juga berperanan sebagai penyalur polisi kerajaan kepada rakyat akar umbi pada masa sama menyalurkan kehendak serta tuntutan rakyat kepada kerajaan.

Bagi mengaktifkan lagi penglibatan kerajaan tempatan dalam pembangunan sosial pula katanya Kementerian Pembangunan Sosial akan melatih ahli-ahli majlis menganjurkan aktiviti-aktiviti sosial yang sihat untuk golongan remaja khususnya dari kumpulan bermasalah.

“Sebelum ini kita tidak ada saluran khusus melaksanakan semua ini kerana untuk meletakkan pegawai sosial di setiap daerah memerlukan kos yang tinggi sebab itu kita perlu mewujudkan saluran ini menerusi kerajaan tempatan,” ujarnya.