Semak laporan cuaca sebelum ke Thailand

0

Cuaca di negara itu kini tidak menentu, rakyat Malaysia elak terperangkap dalam banjir

SONGKHLA (Thailand): Rakyat Malaysia yang berhasrat melancong ke Thailand dinasihati menyemak situasi dan laporan cuaca bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam banjir.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain berkata, keadaan cuaca kini tidak menentu dan banjir masih berlaku di kawasan-kawasan tertentu di negara Gajah Putih itu.

Bercakap dalam wawancara dengan Bernama di sini semalam, beliau yang baru empat bulan bertugas di Thailand berkata, apa yang lebih penting ialah mereka tidak mengambil risiko apabila melancong ke Thaiand.

Media Thailand melaporkan sebanyak 25 wilayah terjejas akibat banjir di negara itu membabitkan 1.5 juta penduduk daripada 470,000 keluarga sejak akhir Julai lalu.

Nazirah berkata, walaupun kerajaan tidak menyekat per-gerakan rakyat Malaysia ke Thailand kerana keakraban hubungan dua negara namun soal keselamatan harus diutamakan terutama oleh penganjur pakej pelancongan.

“Sebelum melancong ke Thailand, mereka perlu mengambil tahu kawasan-kawasan yang berisiko banjir,” katanya dalam temu bual di pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla semalam.

Hujan lebat turun di Songkhla kelmarin namun sekitar kawasan pelancongan di pinggir pantai Songkhla dan Haadyai masih bebas daripada banjir.

Nazirah berkata, beliau ke Wilayah Yala di selatan Thaiand kelmarin bagi bertemu kepimpinan Majlis Agama Islam Yala.

“Saya ingin mendapatkan gambaran tentang kegiatan mereka selain memberi pandangan balas terutama yang berkaitan dengan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, ramai rakyat Malaysia yang berkahwin di selatan Thailand termasuk Yala dan ada juga yang me-milih jurunikah yang tidak bertauliah sama ada secara disedari atau tidak.

Keadaan itu menyukarkan mereka dan masa depan zuriat mereka jika berkahwin tanpa menggunakan jurunikah yang diiktiraf.

Nazirah berkata, pertemuan dengan pemimpin Majlis Agama Islam Yala petang ini akan membolehkannya mendapat gambaran jelas tentang isu agama di selatan Thailand termasuk soal pengiktirafan kepada jurunikah.

Setiap pernikahan rakyat Malaysia di Thailand perlu didaftarkan di Pejabat Konsulat Malaysia dan ia tidak boleh dilakukan sebarangan.

Nazirah berkata, beliau juga akan meninjau kegiatan di sempadan Malaysia-Thailand dengan melawat pos kawalan sempadan di Bukit Kayu Hitam pada Jumaat ini.

Katanya, sebagai duta Malaysia di Thailand, beliau perlu mengambil tahu banyak perkara apatah lagi beliau masih baru di negara itu.

Terdahulu, Nazirah menghadiri majlis penyerahan bangunan Konsulat Malaysia di Songkhla yang telah di-ubahsuai kepada Kementerian Luar.

Serahan dilakukan oleh Pengarah Projek Jabatan Kerja Raya (JKR), Prof Datuk Dr Amer Hamzah Mohd Yunus kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman. — Bernama