Astro dekati penduduk Sarawak

0

TANGGUNGJAWAB KORPORAT: Rohana (kiri) menyerahkan replika cek kepada Norah (tengah) sambil disaksikan oleh Borhanuddin.

1,400 set dekoder dipasang di sekolah, hospital di bawah Astro Kasih

SARIKEI: Program Astro Kasih telah berusaha mendekati penduduk negeri Sarawak dengan pelbagai cara termasuk dengan memasang lebih 1,400 set dekoder.

Pemasangan dekoder ini, termasuk siaran percuma di sekolah-sekolah rendah dan menengah serta wad-wad pediatrik hospital di bawah projek Kampus Astro dijangka akan memberi kemudahan yang positif kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Datuk Rohana Rozhan berkata, Astro percaya pembangunan komuniti dan persekitaran perlu diberi perhatian dengan seriusnya dewasa ini.

“Pihak Astro dalam tanggungjawab melaksanakan perkara tersebut, telah mengambil langkah melalui beberapa pendekatan seperti melalui elemen pendidikan, semangat kesukanan serta aktiviti acara langsung termasuk kerja-kerja amal melalui Astro Kasih.

“Seramai lebih 3,000 kakitangan Astro telah terlibat dalam menjayakan program ini yang berusaha untuk menarik seberapa ramai rakyat Malaysia untuk menonton program ini.

“Bagi penduduk di daerah Sarikei, sebanyak 58 sekolah dan wad pediatrik Hospital Sarikei boleh menikmati kemudahan yang telah disediakan oleh Astro ini,” kata Rohana.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri anjuran Astro yang dilangsungkan di Central Market Sarikei, petang kelmarin.

Pada majlis yang sama juga, Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman mengucapkan syabas kepada Astro atas inisiatif menunaikan tanggungjawab sosial korporat melalui penubuhan Astro Kasih.

“Sejak penubuhan program Astro Kasih lebih kurang dua tahun lalu, lebih daripada 480 aktiviti kebajikan telah dilaksanakan oleh pihak Astro dan kakitangannya yang banyak menghulurkan bantuan dari segi tenaga, masa dan kepakaran untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

“Terima kasih kepada pihak Astro atas sumbangan amal Astro Kasih yang sebanyak RM50,000 kepada Tabung Kebajikan Parlimen Tanjung Manis yang akan disalurkan untuk program-program kebajikan di Kampung Paloh, Sarawak,” kata Norah.

Majlis tersebut dianjurkan untuk meraikan lebih 1,200 golongan kurang berkemampuan dan telah melibatkan kerjasama seramai 100 sukarelawan Astro dan ia merupakan program yang julung kali diadakan seumpamanya di negeri ini.

Dalam program Astro Kasih ini, terdapat empat elemen utama tanggungjawab sosial korporat Astro yang diutamakan iaitu merangkumi sukan dan kehidupan yang sihat, melahirkan nilai melalui pembelajaran yang berterusan, melaksanakan inisiatif kebajikan untuk kakitangan ke arah keharmonian masyarakat dan memajukan ketahanan alam sekitar.

Turut hadir Ahli Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing, Ahli Dewan Undangan Negeri Repok Dr Wong Hua Seh, Timbalan Residen Sarikei Alex Liau dan Pengarah Eksekutif Rangkaian AMP Radio Datuk Borhanuddin Osman.