Robert Nell juara Pertandingan Baram Idol

0

MARUDI: Lagu ‘Cinta Sabun Mandi’ ternyata membawa tuah kepada Robert Nell apabila dia dinobatkan sebagai juara Pertandingan Baram Idol yang berakhir malam kelmarin.

Kemenangan itu, sekali gus melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta sebuah trofi dan sijil penyertaan.

Selain itu, beliau yang me-rupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai, Tatau, Bintulu turut membawa pulang beberapa hadiah sampingan termasuk baucar penginapan tiga hari dua malam di Permaisuri Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan sumbangan Permaisuri Resort bernilai RM700.

Manakala, Douglas Dato Allie dari Miri pula telah dipilih sebagai juara Juri Awam setelah berjaya memungut markah tertinggi yang diberikan oleh 200 orang juri awam yang dipilih secara rambang oleh pihak penganjur malam kelmarin.

Sementara itu, lima finalis lain iaitu Allysa Joanne Jambi dari Bintulu, Abang Abdul Hafiz Abang Bujang (Kuching), Andy Hadrian Mamong (Bintulu), Bibiyanti Mohamad (Miri) dan Gazelina Veronica Mark (Bintulu) tidak pulang dengan tangan kosong apabila pihak penganjur menyediakan hadiah sagu hati sebanyak RM300.

Selain itu, mereka masing-masing menerima sebuah hamper produk kecantikan dan kesihatan Rindu bernilai RM150 sumbangan Nostalgia Manja Sdn Bhd dan produk jenama Nureens Beauty Marketing Sdn Bhd bernilai RM150 setiap seorang.

Pada peringkat awal, se-  ramai 21 orang peserta be-rentap untuk melayakkan        diri ke pertandingan akhir Baram Idol yang merupakan anjuran Jawatankuasa Induk Baram Regatta 2011 dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Miri.

Bagaimanapun, hanya tujuh terbaik dipilih ke peringkat akhir yang berlangsung di Dataran Marudi di sini malam kelmarin.

Manakala permarkahan berdasarkan 40 peratus daripada juri awam dan 60 peratus daripada juri profesional yang terdiri daripada Eddie Hamid, Mimie Haris dan Nai Dinamik.

Sementara itu, beberapa finalis yang layak berdasarkan mutu suara dan mempunyai pakej artis akan diberi peluang menjadi artis rakaman di tiga buah syarikat rakaman di Kuala Lumpur iaitu Nova Muzik, Drem Muzik dan FGM Muzik dan Filem.

Majlis itu yang dirasmikan Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) dan Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Baram Regatta Marudi 2011, Datuk Sylvester Entri Muran turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Sementara itu, Robert, 32, dari Bintulu ketika ditemui selepas pertandingan berakhir memberitahu dia tidak menyangka sama sekali nasib berpihak kepadanya memandangkan saingan begitu sengit daripada finalis yang lain.

“Saya tidak menyangka akan memenangi pertandingan ini memandangkan saingan yang diberikan peserta-peserta lain amat sengit. Apapun, saya berpuas hati kerana akhirnya ia menjadi milik saya setelah dua kali mencuba nasib dalam pertandingan ini,” katanya.

Pada cubaan pertama iaitu Baram Idol 2008, Robert memberitahu dia hanya layak ke peringkat akhir dengan menduduki tempat keempat.