Kebersihan cabaran utama sektor pelancongan

0

TAHNIAH...Masidi (dua kanan) menyerahkan anugerah khas berupa trofi dan sijil kepada Iskandar pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Kebersihan merupakan masalah yang paling kritikal dan sentiasa perlu diatasi kerana ia adalah masalah utama kepada sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun berkata terdapat ramai kalangan pelancong yang datang ke negeri ini mengutarakan aduan yang mengatakan bahawa tandas restoran dan awam di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu berada dalam keadaan sangat tidak memuaskan.

Katanya, di samping tandas yang kotor, sampah sarap juga dibuang merata-rata oleh mereka yang tidak bertanggungjawab

“Menjijikan….itu perkataan yang terpaksa saya gunakan…kita tidak boleh terus mempromosi Sabah sebagai kawasan eko pelancongan yang terbaik di dunia jika kita tidak mengekalkan kebersihan bandar kita.

“Kita boleh berbelanja berjuta-juta ringgit untuk mempromosi Sabah sebagai kawasan eco pelancongan yang terbaik tetapi jika kita tidak menjaga kebersihan bandar semua usaha yang dijalankan akan menjadi sia-sia,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Pengiktirafan Persekitaran Sabah 2011 di sini pada Jumaat lalu.

Menurut Masidi, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) boleh membersihkan kawasan seperti sungai, jalan raya dan pantai tetapi bagaimana pula dengan pencemaran yang diwujudkan oleh penghuni-penghuni bandaraya ini di parit-parit kediaman mereka.

Katanya, pembuangan sisa minyak dan makanan ke dalam parit boleh menyebabkan pencemaran sungai dan laut kerana aliran dari parit ini akan disalurkan ke sungai.

Masidi juga menyeru kepada masyarakat sekitar bandaraya ini tidak hanya menuding jari kepada penghuni yang menduduki Pulau Gaya sebagai punca kekotoran laut dan pantai. Masyarakat harus mengubah sikap dan menerima hakikat bahawa sampah yang dikutip oleh DBKK merupakan tabiat masyarakat yang tinggal di sekitar bandaraya ini.

Selain itu, longgokan sampah yang sering kelihatan di atas jalan raya adalah dibuang dari pemandu serta penumpang kereta yang tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, masyarakat sepatutnya tidak hanya bergantung kepada pihak DBKK sahaja untuk menjalankan tugas kebersihan ini kerana pihak DBKK juga mempunyai batasannya.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Michael Emban berkata penjagaan alam sekitar bukan tugas kerajaan dan agensi kerajaan semata-mata. Ia juga tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak dalam masyarakat.

“Aktiviti kehidupan harian kita juga yang menyumbangkan kepada kesan alam sekitar yang dialami sekarang dan kita mempunyai tanggungjawab sebagai penduduk bandar yang prihatin bagi membersihkan kawasan persekitaran di semua kawasan di negeri ini,” jelasnya.

Pada Majlis sama, sebanyak tujuh anugerah disampaikan kepada pemenang dan yang menjadi tumpuan utama adalah anugerah khas Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang dimenangi oleh Bundu Tuhan Community Forest dan Mohammad Iskandar Shah Mohammad Ali.