Tuesday, December 7

‘Jaguh Air Batang Rimbas’ tetap mendapat tentang sengit

0

TAHNIAH: Robert (agak terlindung) menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan berkenaan semalam.

SRI AMAN: Pesta Debak 2011 telah melabuhkan tirainya dengan penuh meriah di Tebingan Sungai Rimbas, Debak dekat sini semalam.

Kekuatan tenaga pekayuh perahu ‘Sambang Buih Sakti’ membuktikan mereka adalah ‘Jaguh Air Batang Rimbas’ bagi tahun 2011.

‘Sambang Buih Sakti’ milik Yak Kudang walaupun digelar Raja Air Batang Rimbas 2011, namun tetap mendapat tentangan sengit daripada pasukan lain seperti ‘Pendekar Laut’, ‘Jenaie’ dan ‘Raja Rebak’.

Ketika ditemui Utusan Borneo selepas pertandingan itu, Yak Kudang selaku pengurus perahu ‘Sambang Buih Sakti’ berkata, beliau sangat gembira atas kemenangan tersebut.

Jelasnya, sejak awal pertandingan lagi, beliau telah melihat perkembangan baik pekayuh-pekayuh perahu tersebut yang begitu komited dan bersemangat,” ujarnya.

Katanya, dengan semangat sebegitu memang wajar mereka dinobatkan selaku ‘Juara Pesta Air’ tersebut.

Namun jelasnya lagi, ada beberapa kelemahan kecil yang perlu diperbetulkan selepas ini bagi menghadapi regata yang akan datang sambil menambah, kemenangan ini adalah untuk semua pekayuh perahu ‘Sambang Buih Sakti’, ujarnya.

“Kami berharap kemenangan ini akan berterusan, seterusnya mengekalkan nama sebagai ‘Raja Air Batang Rimbas’,” katanya.

Selain itu, antara lain aktiviti pesta tersebut ialah perlumbaan jetski (menggunakan enjin pam) serta karaoke lagu Melayu dan Iban.

Dalam pada itu, keputusan pertandingan adalah seperti beriku: tempat pertama tertutup lelaki akhir disandang oleh ‘Sambang Buih Sakti 2’, tempat kedua pula disandang oleh ‘Raja Rebak’ dan tempat ketiga disandang oleh ‘Sambang Buih Sakti 3’.

Manakala kategori terbuka pula tempat pertama disandang oleh ‘Sambang Buih 1’, kedua ‘Pendekar Laut’ dan tempat ketiga ‘Jenaie’.

Terdahulu, majlis penyampaian hadiah berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Muda Kebajikan Sarawak Robert Lawson Chuat.