Kedai roti minta 20 sen untuk beg plastik

0

MIRI: Ramai pengguna di sini berasa hairan dan keliru kerana diminta membayar 20 sen untuk setiap beg plastik ketika membeli roti, kuih dan kek di kedai-kedai roti di sini.

Rasa hairan timbul kerana secara tiba-tiba dikenakan bayaran 20 sen oleh pengusaha kedai roti sedangkan masyarakat setempat di sini mengetahui hanya pasar raya dan kedai terpilih sahaja yang dibenarkan berbuat demikian.

Selain itu, pengguna berasa keliru kerana mereka tidak mendapat jawapan yang jelas daripada pengusaha tentang tujuan mereka dikenakan bayaran berkenaan.

Aduan pengguna telah diluahkan kepada Datuk Bandar Lawrence Lai ketika Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Miri (MBM) baru-baru ini.

Sejak dilancarkan tahun lalu, selain 11 pasar raya terpilih, tiada kedai roti di sini yang terlibat dalam kempen berkenaan.

Antaranya ialah Boulevard Hypermarket Pujut, Boulevard Hypermarket Imperial Mall, Ng Sian Hap Trading, Giant Supermaket Bintang Megamall, emart Supermarket Tudan, Sin Liang Supermarket, Ekonomi serta Servay Hypermarket. Datuk Bandar Lawrence Lai berkata, MBM tidak dapat menghalang pengusaha daripada mengenakan bayaran berkenaan tetapi tidak dibenarkan menggunakan nama MBM sebagai taktik untuk meraih keuntungan lebih.

Pada masa yang sama katanya, pengguna seharusnya menggunakan sepenuhnya hak mereka sebagai pengguna dengan tidak membeli beg plastik itu.

“Anda perlu tahu hak anda (sebagai pengguna). Anda ada hak untuk membayar atau tidak. Saya juga tidak dapat mengatakan yang mereka tidak boleh kenakan bayaran.

“Saya cuma dapat memberitahu yang mereka berbuat demikian kerana kehendak mereka sendiri. Mereka menjual bukan kerana kami (MBM),” jelasnya.

Dalam pada itu, MBM dicadangkan supaya meletakkan pelekat khas di pasar raya dan kedai yang mengambil bahagian dalam kempen berkenaan sebagai pemberitahuan kepada pengguna.

Pemasangan pelekat itu juga akan menguatkan keyakinan pengguna untuk membeli beg plastik dengan harapan agar wang berkenaan dapat diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Baru-baru ini, saya juga telah mengadakan perjumpaan dengan pengusaha-pengusaha kedai roti untuk meminta mereka terlibat dalam kempen ini.

“Dengan adanya penyertaan mereka, ia merupakan berita baik untuk kempen hijau kami. Dalam soal ini kami memang mengalu-alukan penglibatan lebih banyak kedai dalam kempen kami ini,” jelasnya.

Miri merupakan bandar raya pertama di Malaysia yang tidak membenarkan penggunaan beg plastik pada setiap hari.

Setiap pengguna dikenakan bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik dengan hasil daripada jualan akan didermakan kepada badan kebajikan oleh pengusaha dan kempen kitar semula di bawah Jawatankuasa Alam Sekitar dan Budaya Hijau MBM.

MBM turut melancarkan kempen Katakan Tidak Kepada Polisterin sebagai antara usaha awal menjadikan Miri sebuah bandar raya hijau dan sihat dengan menghentikan penggunaan bahan-bahan daripada plastik dan polisterin yang tidak mesra alam sekitar.