Program TUKAR dinanti di Miri

0

PBMS tidak sabar tunggu program TUKAR dilaksanakan di Miri, peniaga runcit Bumiputera tidak mahu lepas peluang keemasan

MIRI: Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS) amat berharap agar program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) yang dilaksanakan oleh kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dapat dilaksanakan segera di bandar raya ini, bagi memastikan golongan peniaga runcit Bumiputera tidak ketinggalan.

Pengerusinya Abdul Hadie Arbi berharap program tersebut dapat dilaksanakan di bahagian ini menjelang tahun depan bagi memastikan peniaga Bumiputera khususnya pemilik kedai-kedai runcit tidak akan terpinggir dengan kewujudan pasar raya moden yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Ketika ini program TUKAR sedang dilaksanakan di bahagian Kuching dan dijangka dilaksanakan secara berperingkat ke seluruh negeri, selepas bahagian Kuching.

“Sebagai persatuan yang menaungi lebih 500 peniaga Bumiputera termasuk penjaja dan peruncit, kami amat mengalu-alukan dan menunggu program ini dilaksanakan di bahagian Miri untuk membantu melonjakkan lagi bidang perniagaan dan ekonomi membabitkan golongan Bumiputera.

“Pada masa ini, kami belum lagi menerima maklumat atau taklimat mengenai program ini dan yakin ia akan dilakukan oleh pihak berkaitan tidak lama lagi,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

“Kami amat berharap ia dapat dilaksana segera ekoran semakin banyak pasar raya yang wujud di sekitar bandar raya ini termasuk di kawasan pinggir bandar seperti Batu Niah dan Bekenu.

“Kami tidak mahu prestasi perniagaan Bumiputera terjejas dengan situasi ekonomi baru ini kerana kami yakin melalui TUKAR, peniaga Bumiputera akan terus bersaing dan bertahan terutama dalam perniagaan peruncitan,” tambahnya.

Di bawah program TUKAR ini, kedai-kedai runcit tempatan jenis ‘mom and pop’ akan dibangun dan dimodenkan bagi meningkatkan tahap kompetitif peruncit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Pada masa yang sama, ia bertujuan meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelanggan di kalangan peruncit tempatan agar selari dengan kualiti proses perniagaan secara menyeluruh dan tidak ketinggalan berbanding kedai-kedai moden atau pasar raya dengan mempromosikan rantaian penawaran dengan kos yang efektif dan efisien.

Program TUKAR juga menggalakkan jualan produk berkualiti melalui pelbagai langkah di samping menyediakan peruncit untuk pelaksanaan Goods and Services Tax (GST).

Sementara itu, menurut Abdul Hadie lagi, pada masa ini persatuan itu sedang berusaha mewujudkan satu kerjasama perniagaan di kalangan ahlinya yang berniaga di kawasan komersial seperti emart dan Permyjaya untuk bernaung bersama dengan meletakkan mereka di satu kawasan khas dengan satu kadar sewa yang berpatutan dan mampu dibayar oleh mereka.

Sebelum ini, ramai ahli khususnya penjaja mengadu sewa yang dikenakan terhadap mereka agak tinggi dan membebankan.