Tukang urut maut, cucu cedera dalam kemalangan

0

REMUK: Keadaan kenderaan milik warga tua Mohamad Jusoh, yang maut apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan dua buah kereta lain di km3 Jalan Seberang Jerteh-Kuala Besut berhampiran SK Bukit Puteri pada jam 8.30 pagi semalam. — Gambar Bernama

BESUT: Seorang tukang urut tradisional dari Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri dekat sini, terbunuh manakala cucunya cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga buah kereta di km3 Jalan Seberang Jerteh-Kuala Besut jam 8.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Mohamad Jusoh, 64, meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Daerah Besut manakala cucunya, Aziq Husni Che Mohd Rozani, dua tahun, yang mengalami patah tangan kiri dan retak tempurung kepala dirawat di Hospital Daerah Besut sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Katanya kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Mohamad merempuh sebuah kereta yang berhenti di tengah jalan untuk membelok memasuki simpang kanan, dan ekoran pelanggaran itu kereta yang dipandunya terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kenderaan lain dari arah depan.

Pemandu dua buah kereta lain itu cedera ringan, kata Kamaruddin. — Bernama