Warga Kuching digesa sertai sukan, aktiviti berasas komuniti

0

GILIRAN ANDA: Wong (tengah) menyaksikan Abdul Wahap (kanan) menyerahkan bendera Pesta Kuching kepada Chan sebagai simbolik MBKS menjadi tuan rumah pesta itu tahun depan.

KUCHING: Warga Kuching digesa menyertai sukan dan aktiviti berasaskan komuniti kerana diyakini mampu membangkitkan rasa bangga dan kecintaan terhadap bandar raya ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berkata, penduduk Kuching harus berusaha mengeratkan lagi hubungan bagi mewujudkan bandar raya yang mesra dan berjiwa.

“Maka, saya ingin merayu kepada penduduk Kuching agar anda memiliki nadi Kuching ini.

“Dalam erti kata lain, semua kita harus menaruh rasa sayang akan bandar raya kita dan mengambil berat untuk melibatkan diri secara aktif dalam mewujudkan tempat dan komuniti yang lebih baik untuk kita diami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Pesta Kuching yang menyaksikan persembahan daripada artis terkemuka Malaysia iaitu Jay Jay dan artis tempatan Shariman dan Sharikin di Panggung Udara di sini, Sabtu lalu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) James Chan.

Wong berkata, aktiviti sukan bukan sahaja menguntungkan individu tetapi juga menggalakkan keharmornian dan persahabatan baru di kalangan masyarakat.

Menurutnya, setiap warga Kuching ada peranan untuk dimainkan dan sumbangan untuk diberikan tidak kira besar atau kecil.

“Apa yang saya ingin katakan adalah, perkakasan dan perisian sudah ada, dan apa yang diperlukan sekarang adalah satu lagi perkara yang kita panggil ‘heartware’ (ciri kemanusiaan),” katanya.

Katanya, ‘heartware’ ini muncul daripada kebanggaan dan kecintaan setiap warga terhadap bandar raya ini.

“’Heartbeat’ (nadi) ini adalah semua kita, ia adalah rasa kekitaan yang akan menyatukan kita.

“Kita juga perlu memastikan semua kita ada peranan untuk dimainkan dan sumbangan untuk diberikan,” katanya.

Beliau juga mahu sektor swasta dan awam menjalankan usaha bersepadu bagi mewujudkan kemesraan dan jati diri di bandar raya ini.

“Jika kita mendekatkan usaha yang sama ke dalam hati kita, kita dapat merealisasikan matlamat itu.

“Kita akan menjadikan Kuching sebuah tempat yang lebih baik untuk bekerja dan didiami semua,

“Kita mungkin berbeza tetapi semua kita bersatu menerusi nadi ini, perisian ini, ‘heartware’ ini, yang akan mengukuhkan semua kita,” katanya.