Lebih ramai belia Dayak diseru jadi askar

1

STEPHEN

Bilangan sedia ada kecil, cuma 5-7 peratus daripada jumlah keseluruhan tentera negara

MIRI: Lebih ramai belia kaum Dayak khususnya Iban digesa menganggotai pasukan tentera memandangkan bilangan yang ada sekarang amat sedikit dengan menyumbang hanya lima hingga tujuh peratus daripada keseluruhan anggota tentera yang ada di seluruh negara.

Panglima 9 Briged, Brigidier Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, kalaupun mereka tidak dapat menganggotai pasukan tentera sepenuh masa (tetap), sekurang-kurangnya mereka boleh menyertai Askar Wataniah (AW).

Katanya, dengan menyertai AW, mereka boleh berkhidmat secara sambilan dalam bidang ketenteraan memandangkan AW juga tidak kurang hebatnya kerana ia merupakan barisan kedua terpenting dalam mempertahankan keselamatan negara.

“Kalau tak dapat berkhidmat dalam tentera (tetap), saya nasihatkan mereka sekurang-kurangnya menyertai AW kerana ia menyediakan perkhidmatan sambilan dalam bidang ketenteraan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau amat menggalakkan golongan belia kaum Iban khasnya dan Dayak umumnya agar menyertai AW kerana ia juga merupakan satu opsyen yang membolehkan mereka berkhidmat dalam bidang ketenteraan.

“Pada masa sekarang, kaum Iban hanya menyumbang jumlah lima hingga tujuh peratus dari keseluruhan anggota tentera di seluruh negara. Manakala kaum Dayak dari Sabah dan Sarawak apabila digabungkan hanya seramai 30 peratus dari jumlah tersebut,” ujar beliau lagi.

Stephen berkata, demikian ketika ditemui Utusan Borneo pada temasya Regata Baram Marudi 2011 yang baru berakhir Ahad lalu.

Katanya, banyak peluang bagi orang ramai menjadi anggota AW kerana ia turut mempunyai cawangan di beberapa kawasan lain termasuk Kapit dan Mukah dengan Rejimen 510AW berpusat di Sibu dan 511AW di Kuching.

“Malah kita juga merekrut para wartawan untuk menjadi sebahagian daripada operasi media kita dengan tugasannya sama seperti yang anda buat sekarang, malah turut dihantar membuat liputan berita ke luar negara seperti Lubnan,” jelas beliau lanjut.