PMR: Sekolah Menengah Sains harap capai sasaran

0

MEDAN PERJUANGAN: Seramai 98 orang pelajar SAINSri khusyuk menjawab soalan PMR yang bermula semalam.

MIRI: Sekolah Menengah Sains Miri (SAINSri) menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus pencapaian oleh para pelajarnya yang menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) untuk mendapatkan gred A dalam semua subjek pada tahun ini.

Pengetuanya, Serina Sauni mengharapkan pelajarnya mencapai sasaran sebanyak 80 peratus berbanding pencapaian tahun lepas iaitu 71.88 peratus.

“Kita telah mulakan sejak pelajar berada di Tingkatan Dua lagi dan momentumnya dikekalkan sehinggalah menjelang hari sebenar peperiksaan (PMR),” katanya ketika ditemui Utusan Borneo pagi semalam.

Menurutya, persediaan yang dibuat adalah turut merangkumi saat-saat akhir peperiksaan dimana para pelajar diberikan taklimat yang digelar Suntikan Akhir selama satu jam pada hari-hari peperiksaan.

“Ia (Suntikan Akhir) bertujuan supaya para pelajar tidak berasa gemuruh dan menghadapi peperiksaan dengan tenang,” jelasnya.

Beliau turut mengatakan bahawa kejayaan yang dikecapi oleh SAINSri turut bergantung kepada sokongan sepenuh Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG).

“Sebelum menduduki peperiksaan, kita dapat lihat ibu bapa sama ada datang dari jauh mahupun dekat ke sekolah untuk memberikan dorongan kepada anak masing-masing,” ujar beliau.

Pada PMR tahun lepas, SAINSri mencatatkan Gred Purata Subjek (GPS) tertinggi di Sarawak iaitu 1.099 dan pada masa sama mencapai peningkatan 11 peratus pelajarnya mendapat Gred A dalam semua subjek.

Berikutan itu, SAINSri juga turut telah menerima Anugerah Sekolah Berprestasi Tinggi dan Anugerah Bai’ ah daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Semalam, seramai 98 pelajar tingkatan tiga di SAINSri menduduki PMR didahului dengan kertas Bahasa Melayu Satu.