Tiga murid dihalang duduki UPSR dibenar ambil peperiksaan semula

3

DIBERI PELUANG: Tiga murid SK Bandar Bintangor (dari kiri) Idie Ganyoi, Edward Augustine dan Richmend Mangi diiringi oleh guru kelas mereka selepas menjawab kertas Bahasa Melayu dalam peperiksaan UPSR di Pejabat Pelajaran Daerah Maradong, di Bintangor, semalam.

SIBU: Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor yang dihalang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dibenarkan mengambil peperiksaan semula semalam.

Ia serentak dengan peperiksan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diadakan di seluruh negara.

Augustine Milau yang merupakan penjaga kepada salah seorang murid berkenaan ketika dihubungi berkata, semalam ketiga-tiga mereka menduduki kertas Bahasa Melayu 1 dan 2.

“Peperiksaan bermula dari jam 8.30 pagi hingga jam 1 petang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Augustine, peperiksaan yang bermula semalam akan berakhir pada 6 Oktober depan.

Dalam pada itu seramai 4,964 pelajar di bahagian Sibu termasuk Kanowit dan Selangau menduduki PMR semalam.

Penolong Penyelia Pejabat Unit Penilaian dan Peperiksaan Sibu Steven Antas ketika dihubungi berkata, sebanyak 35 pusat peperiksaan dibuka.

“Kertas pertama pada hari ini (semalam) ialah Bahasa Melayu 1 dan 2 serta Pendidikan Islam (PI). Bagaimanapun enam daripada kertas peperiksaan yang diduduki pelajar adalah wajib,” katanya.

Kesemua mata pelajaran wajib tersebut ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam (hanya pe-lajar Islam).