Pesta Debak berpotensi jadi produk pelancongan

0

TETAMU VIP: (dari kanan), Friday, Razi, Robert, Dr James serta yang lain antara yang hadir pada majlis penutupan pesta berkenaan baru-baru ini.

SRI AMAN: Pesta Debak, Betong yang dianjurkan buat kali ketiga di Tebingan Sungai Rimbas berpotensi menjadi produk pelancongan terbaru di Sarawak selain Pesta Ikan Buntal di Kampung Manggut, Spaoh, Pesta Air di Sungai Krian, Saratok dan Pesta Pantai di Pantai Kabong.

Menteri Muda Kebajikan Sarawak Robert Lawson Chuat berkata, penganjuran Pesta Debak ini secara tidak langsung akan dapat mempromosikan kawasan pekan kecil Debak kepada penduduk dari kawasan luar yang tidak begitu mengenali pekan ini sebelumnya.

“Bagaimanapun, kita terlebih dahulu harus memastikan bahawa penganjuran Pesta Debak di Sungai Rimbas, Debak ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung dari luar dan dalam dan tidak mustahil pesta ini boleh terkenal seperti pesta-pesta lain di bahagian Betong ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata demikian ketika berucap menutup rasmi Pesta Debak 2011 di Tebingan Sungai Rimbas dekat pekan Debak, Betong baru-baru ini.

Katanya, dengan sokongan dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak untuk menjayakan pesta itu, pihaknya yakin bahawa pesta itu mampu menjadi tarikan mahupun salah satu produk pelancongan yang baru bagi negeri Sarawak selepas ini.

Menurut Lawson lagi, program sebegini, mampu menjana pendapatan, dapat mempromosikan budaya kepada orang luar dan seterusnya menjadikan pekan Debak sebagai sebuah tempat tarikan pelancong.

“Penganjuran program sebegini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) peka terhadap keperluan untuk membangunakan rakyat daripada pelbagai aspek.

Dalam pada itu, menurut beliau lagi, sekiranya rakyat berpegang kepada konsep perpaduan serta bersatu hati menerima pembangunan, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju yang cemerlang, gemilang dan terbilang seterusnya mencapai Wawasan 2020 yang dilaungkan sebelum ini.

Melalui konsep ini, kerajaan akan membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Dengan melakukan yang demikian, kita pasti memiliki kekuatan dan kehebatan luar biasa apabila semua bangsa dapat bersama-sama disatukan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohamad Razi Sitam, Pegawai Daerah Betong Friday Belik, Pegawai Tadbir Sarawak Daerah Kecil Debak Dr James Luing, ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua masyarakat setempat.