Tuesday, August 16

PPWT Bahagian Sri Aman adakan majlis makan malam

0

TANDA INGATAN: Tan (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Sabtuyah (tengah) sambil diperhatikan oleh Sharifah Ranimah (tiga kanan) serta yang lain sambil diperhatikan oleh yang lain semasa berlangsungnya majlis berkenaan.

SRI AMAN: Pusat Perkhidmatan Warga Tua (PPWT) Bahagian Sri Aman telah mengadakan majlis makan malam di Bangunan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman dekat sini malam kelmarin.

Bendahari PPWT Bahagian Sri Aman Tan Eng Siang berkata, tujuan utama majlis makan malam tersebut diadakan adalah sempena Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa PPWT Bahagian Sri Aman bagi sesi 2011-2013.

Katanya, pihaknya juga akan menjadikan majlis makan malam itu sebagai acara tahunan PPWT Bahagian Sri Aman bermula tahun ini.

Terdahulu, majlis penyampaian sijil pelantikan ahli jawatankuasa PPWT Bahagian Sri Aman disempurnakan oleh wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak Sabtuyah Sazali.

Sabtuyah ketika menyampaikan ucapan ringkas pada majlis berkenaan mengharapkan ahli Jawatankuasa PPWT Sri Aman agar bergerak aktif seperti persatuan-persatuan lain di bahagian ini.

“Walaupun persatuan dianggotai ahli warga emas, kami di JKM mengharapkan ahli-ahli warga emas seperti ini juga mampu menganjurkan atau mengelolakan mana-mana majlis,” katanya.

Turut hadir Penolong Pengarah JKM Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim, Timbalan Pengerusi PPWT Sri Aman Dr Samad, Setiausaha Edmeade Rujis, kakitangan JKM Sri Aman serta ahli-ahli PPWT yang lain.