Saturday, August 13

Tuduhan kerajaan tidak prihatin disangkal: Ranum

0

RASMI: Ranum memotong reben sebagai simbolik perasmian Projek Renovasi Sistem Bekalan Air Paip Graviti Kampung Stum Muda Baru di Lundu semalam.

Merujuk masalah bekalan air di Opar, pembangkang burukkan kerajaan tanpa mengetahui keadaan sebenar

LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Ranum Mina menyangkal tuduhan pembangkang yang mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak prihatin terhadap masalah rakyat.

Dakwaan tersebut menurut Ranum merujuk kepada masalah bekalan air bersih yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Opar dan telah dibangkitkan pada pilihan raya negeri lepas.

Ranum yang tidak setuju dengan dakwaan tersebut berkata pembangkang berniat memburuk-burukkan kerajaan tanpa mengetahui keadaan yang sebenarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Renovasi Sistem Bekalan Air Paip Graviti Kampung Stum Muda Baru di kampung itu semalam.

Turut hadir Penghulu Zon Stungkor Jinep Jiheng, Pengurus Besar Bapom (Bau Palm Oil Mill) Krisnan Sigh, Ketua Kaum Stum Muda Baru Lebob Sindeh dan Pegawai Kesihatan Kanan Daerah Lundu Patrick Igot.

Bercakap mengenai projek tersebut ia merangkumi kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air graviti sedia ada daripada polivinilklorida (PVC) kepada poli paip.

Menerusi projek ini ia dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk di kampung berkenaan untuk tempoh jangka panjang melibatkan sebanyak 58 keluarga.

Menurut Ranum, meskipun penyambungan bekalan air bersih dijangka siap hujung tahun ini, namun bantuan perlu diberikan kepada penduduk bagi menampung keperluan mereka dalam tempoh tiga bulan ini.

“Untuk pengetahuan rakyat, paip graviti tidak lagi dikendalikan di bawah Pejabat Kesihatan kerana tiada peruntukan disalurkan oleh kerajaan untuk tujuan ini.

“Berikutan itu, menjadi tanggungjawab setiap wakil rakyat di kawasan ini untuk menyalurkan peruntukan bagi memastikan penduduk menikmati bekalan air bersih,” katanya.

Tambahnya: “Kita tidak mahu ada pihak yang cuba memburuk-burukkan kerajaan hanya kerana masalah ini.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap masalah penduduk dan segala bantuan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa,” katanya.