Pasangan kekasih maut dalam kemalangan ngeri

6

MENDIANG TAM

TAWAU: Sepasang kekasih yang sedang merancang untuk berkahwin maut serta-merta di lokasi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 5 Jalan Kuhara berhampiran The Lotus Buddhism Studies Mission Tawau sekitar jam 2 pagi kelmarin

Pasangan kekasih yang dikenali sebagai Tam, 35, dan Lo, 27, difahamkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan seluruh anggota badan setelah kenderaan yang mereka naiki terbabas lalu memasuki kawasan parit di sebelah kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin berkata, kedua-dua mangsa menaiki kereta Nissan Fair Lady yang dipercayai dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Air Panas sebelum terbabas akibat hilang kawalan.

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya kemalangan ini berpunca daripada kenderaan yang dipandu laju dan hilang kawalan sebelum berpusing-pusing di atas jalan raya. Kita percaya, hentakan kuat yang berlaku menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah.

“Kita akan melihat semua sudut kes itu dari segi teknikal, faktor kecuaian dan juga akan mengambil sampel darah mangsa untuk diuji sekiranya wujud pengaruh alkohol ataupun tidak.

Buat masa ini, kita masih menunggu laporan perubatan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kes kemalangan maut dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta mengesahkan kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk (remuk) dan ditempatkan di IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Operasi, Norhaini Jumdani dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau yang dihubungi oleh Utusan Borneo berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 2.38 pagi.

“Ketika tiba di lokasi kejadian pada jam 2.45 pagi, kita dapati terdapat dua mangsa yang terlibat. Mangsa lelaki tersepit di dalam kereta, manakala tubuh mangsa wanita pula tercampak ke dalam parit dalam keadaan yang tidak sempurna.

“Kita menemui kepala mayat wanita itu di dalam kereta berkenaan, manakala sebelah tangan dan sebelah kakinya pula berada di atas jalan raya,” katanya sambil menerangkan kerja-kerja mengeluarkan mayat lelaki dari kenderaan terbabit berjalan lancar.

Bagaimanapun, Norhaini berkata, pihak bomba terpaksa menggunakan alat pemotong hidraulik untuk melepaskan mayat mangsa lelaki dari dalam kenderaan terbabit dan berhasil mengeluarkannya selepas kira-kira 34 minit kemudian iaitu pada jam 3.19 pagi.

Dalam pada itu, penjaga Lotus Buddhism Studies Mission Tawau, John, 39, berkata, beliau terdengar dentuman yang kuat dan keluar untuk memeriksa arah bunyi berkenaan sebelum mendapati sebuah kenderaan telah terbabas di dalam parit berhampiran kuil.

Difahamkan, mendiang Tam memiliki sebuah salon kecantikan manakala Lo pula merupakan seorang graduan dari England yang bekerja di Singapura serta baharu sahaja tiba di Tawau pada Selasa lepas.

Sebelum kejadian itu berlaku, pasangan kekasih itu dikatakan baharu pulang dari majlis hari jadi rakan mereka dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum terlibat di dalam nahas ngeri berkenaan.