Pemandu dan pemandu maut selepas Kancil bertembung bas

6

BERTUNGKUS-LUMUS: Anggota Bomba dan Penyelamat Sarikei sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta.

SARIKEI: Satu kemalangan maut melibatkan kematian seorang pemandu dan seorang penumpang sebuah kereta Perodua Kancil telah berlaku di Kilometer 7, Jalan Repok Sarikei pada awal pagi semalam.

Pemandu, Abdul Kadir Ahmad, 42, dan penumpang, Tiarah Uji, 63, dari Kabong meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan apabila melalui satu selekoh tajam di kawasan terbabit, lalu bertembung dengan sebuah bas yang datang dari arah pusat bandar.

Kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 8.10 pagi ketika jalan di kawasan terbabit berada dalam keadaan basah selepas hujan yang turun sepanjang pagi itu.

Kejadian itu turut mengakibatkan bas yang terbabit dalam kemalangan tersebut terbabas ke tepi jalan, mengakibatkan seorang penumpangnya mengalami cedera ringan.

Dalam pada itu Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei Pegawai Balai Bomba Kanan Harun Jenai berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada orang ramai mengenai kejadian itu pada jam 8.16 pagi.

“Sebaik sahaja menerima panggilan pertama, kami bergegas ke lokasi kemalangan dan setelah melakukan pemeriksaan terperinci tentang situasi mangsa, kami mendapati mangsa tersepit di antara beberapa bahagian keretanya.

“Pihak bomba mengambil masa lebih kurang 25 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa,” ujar Harun kepada pemberita semalam. Punca sebenar kemalangan tersebut masih dalam siasatan pihak polis.