Penghidap diabetes lebih 10 tahun boleh buta

0

Retinopati diabetik boleh berlaku kepada penghidap kencing manis tanpa disedari, kata Dr Hassan

KUALA LUMPUR: Penghidap diabetes selama lebih 10 tahun mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat retinopati diabetik yang boleh menyebabkan buta, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata, mereka yang menghidapnya melebihi 10 tahun berhadapan dengan 50 peratus risiko tersebut sementara yang menghidap melebihi 30 tahun mempunyai risiko 90 peratus.

“Retinopati diabetik boleh berlaku pada penghidap kencing manis tanpa disedari sehinggalah ia mencapai ke peringkat yang serius termasuk buta,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal untuk Saringan Retinopati Diabetik di sini semalam.

Dr Hasan berkata, orang ramai perlu mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai bahaya diabetes kerana ia merupakan punca utama yang menyebabkan buta atau masalah penglihatan lain dalam kalangan penduduk dewasa di negara ini.“Kita minta semua yang mempunyai risiko diabetes buat pemeriksaan untuk pastikan mereka mendapat kualiti hidup yang cemerlang.

“Kalau dikesan tiada diabetes, baguslah. Tapi kalau ada, kena buat saringan untuk kurangkan atau elak penyakit mata,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga (NHMS) pada tahun 2006, seorang daripada setiap lapan rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun dan ke atas menghidap diabetes dan jumlah itu menyamai 1.6 juta rakyat negara ini.

Mengulas mengenai garis panduan itu, Dr Hasan berkata, ia dihasilkan untuk menyediakan pendekatan yang tepat dan jelas kepada semua pengamal perubatan tentang pengurusan terkini penyakit diabetes khususnya berkaitan retinopati diabetik.

“Rawatan penyakit diabetes berubah dan doktor mesti tahu perkembangan terkini untuk memberi rawatan terbaik kepada pesakit,” katanya. — Bernama