Portal mudahkan permohonan pinjaman perumahan dilancar

0

KUCHING: Badan Pinjaman Perbendaharaan (BPP) melancarkan Portal Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB) untuk memudahkan permohonan pinjaman perumahan bagi pemohon cukup syarat dilakukan atas talian (online).

Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sistem itu berupaya memberi kelulusan pinjaman bersyarat secara atas talian bagi membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri.

“Portal ini untuk menyemak status permohonan, bayaran balik, bayaran kemajuan, penghantaran hak milik, baki pinjaman dan penyata tahunan mudah, cepat dan tepat oleh pemohon,” katanya di Majlis Pelancaran SPPB semalam.

Namun lebih membanggakan, SPPB dibangunkan sendiri secara dalaman tanpa melibatkan kos yang tinggi serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan dari segi kos penyediaan dan pembangunan sistem.

Karim menambah, sistem itu mesra pelanggan yang dilengkapi fungsi ‘auto complete’ yang membantu pengguna membuat kemasukan maklumat permohonan dengan cepat dan tepat yang dihantar terus ke sistem pangkalan data berpusat.

Portal itu turut dilengkapi dengan kemudahan bayaran melalui perbankan internet (internet banking) bagi memudahkan pembayaran wang proses.

Terdahulu pihak BPP telah melancarkan e-Bayaran pada Mac 2009 diikuti e-Borang pada Disember 2010, diteruskan dengan penggunaan ‘Perkhidmatan sistem pesanan ringkas atau SMS untuk memaklumkan kelulusan pinjaman kepada peminjam.

“Pada masa itu SMS 15888 telah diperluaskan dan amat popular untuk memudahkan peminjam memeriksa status pinjaman pada bila-bila masa,” katanya menambah.

BPP juga telah memulakan bayaran kemajuan melalui ‘Electronic Fund Transfer’ (EFT) kepada pemaju yang mempunyai Housing Development Account (HDA), ujarnya.

Sementara itu Setiausaha Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Datuk Shuib Mohd Yusop dan Pegawai Kewangan Persekutuan Negeri Datu Jabidah Monseri turut hadir memeriahkan majlis.