KUCHING: Tiga lelaki yang menyamar sebagai polis ditangkap selepas mereka dan seorang yang masih bebas disyaki terlibat dalam penculikan dan rogol berkumpulan terhadap seorang pelajar kolej awal pagi semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah taman di Bandar Baru Batu Kawa apabila suspek mendatangi mangsa yang berusia 18 tahun dari Kapit yang belajar di sebuah institut tempatan di sini, semasa dia dan teman lelakinya sedang memadu kasih di taman itu.
Sumber mendedahkan bahawa empat lelaki yang menaiki Proton Saga, mendakwa mereka adalah anggota polis dan meminta pasangan terbabit menunjukkan MyKad mereka.
Teman lelaki mangsa bagaimanapun memberitahu suspek bahawa dia terlupa membawa MyKad dan kemudiannya diarahkan kembali ke rumahnya untuk mengambil dokumen itu.
Beliau turut diberitahu oleh suspek bahawa teman wanitanya perlu menunggu bersama mereka di taman untuk memastikan bahawa dia akan kembali dengan MyKad supaya tidak melarikan diri. Apabila teman lelaki mangsa kembali beberapa minit kemudian bersama MyKadnya, dia berasa bimbang setelah mendapati teman wanitanya bersama empat lelaki terbabit tidak lagi berada di situ dan segera menuju ke Balai Polis Batu Kawa yang berdekatan untuk melakukan siasatan.
Sumber mendedahkan bahawa anggota polis yang bertugas mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana pasukan polis tidak menggunakan kereta Proton Saga ketika menjalankan tugas dan dengan serta-merta membawa teman lelaki mangsa bersama-sama mencari pelajar yang hilang.
Pencarian mereka hampir sia-sia, sehingga kira-kira sejam kemudian apabila mangsa menghubungi telefon bimbit teman lelakinya yang kemudiannya memberitahu bahawa dia telah dipaksa oleh empat lelaki terbabit masuk ke dalam kereta mereka tidak lama selepas teman lelaki meninggalkannya untuk mendapatkan MyKad.
Mangsa mendakwa dia dibawa ke sebuah rumah yang terbiar di hutan sekunder di mana keempat-empat lelaki terbabit bergilir-gilir merogol sebelum melepaskannya.
Selepas mengetahui di mana kedudukan mangsa, polis dan teman lelakinya menjemput mangsa dan ketika sedang dalam perjalanan kembali ke Balai Polis Batu Kawa mereka terserempak dengan kereta yang dipandu suspek di Jalan Batu Kawa.
Anggota polis sertamerta menghubungi unit peronda MPV bagi membantu mengejar kereta suspek sebelum dapat memintas mereka di Jalan Stephen Yong.
Hanya tiga daripada perogol berjaya ditahan dalam kereta pada masa itu dan seorang lagi suspek masih bebas kerana diturunkan oleh rakan mereka di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.
Ketiga-tiga mereka ditahan sementara menunggu siasatan lanjut, manakala usaha-usaha untuk mengesan suspek keempat masih dijalankan.