Atlet Sarawak mahu ‘berguru’

0

MSNS harap jurulatih berpengalaman KOAM tidak lokek membantu Projek Sprint

 

MIRI: Sarawak mahu menggunakan khidmat jurulatih dari Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) bagi meningkatkan prestasi pelari-pelari pecut negeri.

Menteri Kemajuan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom berkata sokongan jurulatih tempatan dan asing di bawah badan induk persatuan olahraga negara itu dicadangkan bagi memperkasakan lagi program Projek Sprint di bawah kendalian Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

“Kita ingin memohon kepada jurulatih KOAM yang berada di kem latihan Miri ketika ini agar dapat mengadakan sesi latihan bersama dengan atlet-atlet kita di bawah program Projek Sprint yang dibimbing oleh jurulatih MSNS.

“Kita ingin mengambil sepenuhnya kesempatan untuk menimba pengalaman selain mendapatkan tip-tip daripada jurulatih berpengalaman KOAM sebagai persiapan kita menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) yang akan datang. Kita amat memerlukan khidmat jurulatih berpengalaman untuk membantu kita melahirkan jaguh-jaguh pecut di negeri kita ini,” jelas Mawan.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kem Latihan Atlet Sukan SEA 2011 di Sekolah Menengah Persendirian Jalan Riam (RRSS) di sini semalam.

Mawan berkata kerajaan negeri melalui MSNS amat serius dalam usaha melahirkan seramai mungkin pelari pecut, justeru Sarawak memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk persatuan sukan kebangsaan seperti KOAM bagi menyediakan program pembangunan atlet di negeri ini.

Mengulas tentang Projek Sprint, program sukan itu adalah hasil idea bernas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah dilancarkan pada 2005.

Program bertujuan mengenalpasti bakat-bakat dalam acara pecut (100 dan 200 meter) dan membentuk sistem pembangunan yang lebih bersistematik demi melahirkan seramai mungkin jaguh dalam acara dekat berkenaan.

“Menerusi usaha ini, kita berharap akan dapat melahirkan ramai jaguh-jaguh acara pecut pada masa akan datang,” jelasnya.

Dua atlet yang ketika ini menjalani latihan persedian di Miri iaitu Ambrose Jilom dan Mohd Jironi Ridzuan. adalah hasil dari Projek Sprint ini.

Mereka merupakan antara 24 atlet pecut negara yang sedang berkampung di Kompleks Sukan Miri untuk menjalani latihan persediaan untuk Sukan SEA.

Miri merupakan salah satu daripada tiga kem latihan bagi persiapan atlet untuk Sukan SEA yang bakal berlangsung di Palembang, Indonesia pada 12 hingga 14 November depan. Dua lagi di Ranau, Sabah dan Kuala Lumpur.

Para jurulatih, pegawai KOAM dan atlet telah berada di sini sejak 25 September lalu dengan kem latihan dijangka berakhir pada 8 November.

Dalam pada itu, MSNS menyampaikan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Olahraga Amatur Sarawak (SAAA). Dana itu disalurkan bagi menampung kos penginapan, pengangkutan serta makan minum pada pegawai dan atlet di kem berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim, Ketua Jurulatih Olahraga Harun Rashid, Pengarah MSNS Francis Nyurang Ding, Setiausaha Tetap Kemajuan Sosial Soedirman Aini dan Setiausaha Agung SAAA, Datuk Tham Sui Kai.

Hadir sama jurulatih-jurulatih pecut MSNS iaitu Watson Nyambek, Jenang Ungker dan Abang Sapani Abang Sarbini.