Bekas banduan dicekup curi motosikal

0

RAMPAS...Ahmad Sofi menunjukan motosikal yang dicuri.

KOTA KINABALU: Tidak sampai seminggu dibebas selepas menjalani hukuman penjara dua tahun, seorang banduan tidak serik apabila melakukan kegiatan curi motosikal, namun suspek akhirnya berjaya diberkas kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar bandaraya ini di Kampung Bambangan Inanam, di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pada jam 2.31 petang, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut menemui sebuah motosikal dipercayai dicuri yang disembunyikan di dalam rumah suspek.

Ketua Polis Bandaraya, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata dengan penahanan suspek pertama, polis sekali lagi berjaya memberkas rakan suspek yang terbabit dalam kegiatan curi motosikal dan turut merampas dua buah motosikal.

“Penahanan kedua-dua mereka, polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai sebagai pembeli dan turut merampas sebuah motosikal dipercayai dicuri.

“Dengan penahanan semua suspek terbabit polis berjaya menyelesaikan empat kes kehilangan motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar bandaraya ini,” katanya pada sidang akhbar, di IPD Kota Kinabalu, kelmarin.

Beliau berkata, hasil siasatan, polis mendapati kedua-dua suspek berkenaan melakukan jenayah berkenaan sekitar bandaraya ini pada Julai dan September.

“Bagaimanapun, hasil maklumat orang awam dan risikan polis, berjaya menahan kedua-dua suspek yang dipercayai giat melakukan kegiatan curi motosikal.

“Modus operandi mereka mencuri motosikal Honda EX5, dengan membuka kotak lampu motosikal berkenaan, lalu mencabut wayar kunci motosikal berkenaan, lalu mematahkan tengkuknya, sebelum menghidupkan enjin motosikal berkenaan,” katanya.

Sofi berkata, selepas itu mereka akan menjual motosikal berkenaan kepada individu yang dikenali dengan harga yang murah antara RM500 dan RM1,000.

“Suspek pertama yang ditahan adalah bekas banduan atas kesalahan Seksyen 411 memiliki barang curi dan baru dibebaskan Julai lalu, namun diberkas.

“Begitu juga dengan rakan suspek yang juga bekas banduan atas kesalahan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana dipercayai memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.

Menurutnya, dua suspek berkenaan kini direman untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Bagi seorang suspek yang juga pembeli motosikal berkenaan turut ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan memiliki barang curi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis turut berjaya menyelesaikan kes curi motosikal di daerah ini dengan penahanan seorang suspek yang giat melakukan curi motsikal di sekitar bandaraya ini di Padang Merdeka, di sini, pada 23 September lalu.

“Dengan penahanan lelaki berusia 24 tahun polis berjaya menemui tujuh motosikal dan menahan empat lelaki berusia 19 hingga 24 tahun kerana dipercayai sebagai pembeli.

“Semua mereka direman dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 411 memiliki barang curi,” katanya.