Bersama jaga alam sekitar

0

UNTUK KEBAJIKAN: Alice bagi pihak KDJA menyampaikan replika cek bernilai RM4,000 kepada Children’s Wish Society of Malaysia yang diwakili oleh Teoh (dua kanan) sambil disaksikan oleh Uggah (dua kiri) dan Nancy.

KUCHING: Isu alam sekitar tidak lagi dapat dikawal dengan penguatkuasaan undang-undang daripada pihak berkuasa sahaja tetapi menuntut kerjasama daripada semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata, beliau mahu semua individu memainkan peranan dengan menyertai program di bawah kementeriannya, Rakan Alam Sekitar.

“Kami mempunyai jawatankuasa di semua konstituensi Parlimen di seluruh negeri, yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimennya sendiri.

“Oleh itu, saya menyeru agar semua Ahli Parlimen di negeri ini memainkan peranan masing-masing dengan memperkasakan program Rakan Alam Sekitar di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jualan ‘Car Boot’ dan Hari Sukan anjuran Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di Kompleks Sukan Bersepadu, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Kompleks Sukan Bersepadu Datuk Patrick Liew, Presiden KDJA Alice Wee, Naib Presiden Children’s Wish Society of Malaysia Teoh Teik Hoong dan Pengerusi Penganjur Car Boot Sale Nancy Nais.

Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata, ahli Rakan Alam Sekitar di seluruh negara adalah seramai 35,000 dengan 15,000 orang daripada jumlah itu di Sarawak.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru ahli KDJA memainkan peranan masing-masing dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.

Beliau turut memuji inisiatif KDJA untuk mengadakan jualan itu kerana ia sejajar dengan konsep kitar semula.

“Kita berkumpul di sini hari ini untuk dua perkara, pertama adalah untuk menyokong kempen kebajikan yang dianjurkan KDJA dan untuk menyatakan sokongan kepada alam sekitar.

“Saya difahamkan oleh penganjur bahawa jualan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahan kitar semula yang kita gunakan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Uggah turut memuji KDJA kerana menganjurkan acara sukan sambil menekankan kepentingan penglibatan dalam senaman secara kerap.

“Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas menekankan keperluan untuk menganjurkan sukan khususnya sekiranya populasi di negara sedang meningkat.

“Kita perlu kekal sihat sambil kita menuju ke arah 2020,” katanya.

Dengan itu, beliau memperuntukkan geran RM10,000 kepada KDJA bagi menganjurkan aktiviti sedemikian.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis itu, Uggah memberitahu bahawa kementeriannya akan terus memfokuskan projek tebatan banjir yang menjejaskan seramai 4.8 juta rakyat Malaysia.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana meningkatkan jumlah peruntukan untuk Rolling Plan Kedua, daripada RM1.2 bilion pada Rolling Plan Pertama kepada RM2 bilion.

“Ia merupakan program yang menelan sejumlah besar wang tetapi kementerian berterima kasih kepada PM kerana meletakkan keyakinan dan memberikan kepercayaan kepada kami,” katanya.