Jemaah haji perlu lakukan persediaan rapi sebelum berangkat ke Mekah

0

LIMBANG: Jemaah haji perlu melakukan persediaan rapi sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menghadapi perbezaan masa dan cuaca sepanjang mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata, segala panduan dan ilmu pengetahuan yang diberikan pihak Lembaga Tabung Haji harus diikuti bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.

Pada masa sama jemaah diingatkan agar sentiasa menitikberatkan aspek kesihatan dan menjaga makan dan minum bagi mengelak mereka ditimpa masalah kesihatan sepanjang berada di Mekah.

“Jemaah haji Malaysia akan berdepan dengan perbezaan waktu iaitu enam jam awal di negara Arab Saudi berbanding masa di Malaysia.

“Selain itu cuaca yang panas dan kering di negara Arab akan mempengaruhi kesihatan jemaah berbanding cuaca di negara kita yang panas dan lembab,” katanya.

Beliau memberitahu perkara itu ketika mengucapkan selamat jalan kepada 18 jemaah haji dari Limbang di Lapangan Terbang Limbang petang kelmarin.

Dalam pada itu seramai 38 jemaah haji di bahagian ini terpilih untuk menjadi tetamu Allah termasuk 18 dari Limbang dan 13 jemaah dari daerah Lawas.

Turut sama ialah isteri Dr Rahman Dayang Maimunah Daud, Pengurus TH Cawangan Limbang Mohd Zaini M. Hamdi, Pegawai Khas Ahli Parlimen Mohamad Abu Bakar dan Pegawai JASA Parlimen Limbang Rosmaini Mail.

Dr Rahman mengingatkan lagi agar jemaah tidak terlalu ghairah untuk menunaikan ibadat sehingga mengabaikan kesihatan masing-masing.

“Kerjakanlah ibadat mengikut kemampuan. Jangan mendedahkan diri terlalu lama dalam cuaca panas di samping minum banyak air untuk menggantikan air yang hilang dari badan,” katanya.

Dr Rahman berkata jemaah juga wajib melakukan ibadat dengan sempurna melalui persediaan yang diberikan Tabung Haji.

“Ini adalah satu perjuangan untuk kita menunaikan Rukun Islam kelima dan bukan lawatan biasa.

“Ujian yang kita hadapi memang berat dan ilmu yang kita ada perlu diamalkan sepanjang menunaikan haji,” ujarnya.

Katanya, seramai 28,000 jemaah haji di negara ini terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.

“Mereka yang terpilih adalah berdasarkan kuota yang ditetapkan pihak Tabung Haji,” tambahnya.