Pergiat hasilkan rekaan untuk menambah nilai manik

0

KUCHING: Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mahu usaha dipergiatkan untuk menghasilkan rekaan yang dapat menambah nilai hasil manik negeri ini.

Menurutnya, di kebanyakan bandar besar, permintaan terhadap manik mencecah tiga kali ganda berbanding di negeri ini.

Melihat kepada senario ini, beliau berharap agar Persidangan Manik Antarabangsa Borneo (BIBC) akan dapat menjadi pendorong kepada industri manik.

“Manik sememangnya sinonim dengan masyarakat negeri ini dan telah banyak memberi nilai ekonomi dalam perusahaan-perusahaan kecil.

“Sebagai contoh, daerah Lawas terkenal dengan industri kotej berasaskan manik dan muncul sebagai satu daripada industri kecil dan sederhana.

“Justeru, diharap persidangan ini akan dapat memberi input dalam usaha kita mengenal pasti peluang-peluang pasaran ke atas hasil manik kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena BIBC Kedua di salah sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Abang Johari dalam ucapannya turut mencadangkan agar program seperti ini dijalankan secara konsisten dan dianjurkan sekurang-kurangnya sekali dalam masa dua tahun di negeri ini.

Sempena majlis tersebut Abang Johari turut menyampaikan Anugerah Manik Antarabangsa Borneo (BIBA) kepada pemenang yang telah dipilih oleh juri-juri profesional.