Tuesday, November 24

PRU awal boleh jadi kenyataan

0

SERIAN: Cakap-cakap bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan lebih awal boleh menjadi kenyataan.

Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot semalam berkata, ramai kalangan Ahli Parlimen telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya iaitu sebelum akhir tahun ini atau April tahun depan.

“Seperti yang anda tahu, Parlimen kini masih dalam sesi dan hari ini semua orang di Parlimen sudah bercakap tentang pilihan raya akan datang dengan sebahagian besar daripada mereka mengatakan ia boleh diadakan dalam lima hingga enam bulan akan datang.

“Tiada siapa yang tahu tarikh, hanya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengetahuinya,” katanya.

Riot yang juga Ahli Parlimen Serian berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Lanchang Sijo dekat sini, semalam.

Spekulasi menyatakan PRU akan diadakan tidak lama lagi selepas pembentangan Belanjawan 2012, selain menggambarkan ia sebagai bajet pilihan raya.

Memberi komen mengenai Belanjawan 2012 pula, Riot berkata ia adalah yang terbaik kerana menjaga kepentingan golongan berpendapatan rendah dengan mengetepikan yuran sekolah rendah dan menengah bagi sekolah kerajaan dan sumbangan bantuan tunai bernilai RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah sebulan.

Justeru, beliau yakin manfaat tersebut akan turut dinikmati oleh penduduk di konstituensinya.

Beliau juga berkata sebagai Ahli Parlimen dari Sarawak, beliau gembira bahawa perhatian khusus telah diberikan kepada Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2012.

Ini, tegas beliau adalah mencerminkan kesedaran Najib dengan hakikat bahawa Sabah dan Sarawak, dari segi infrastrukturnya masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Jika saya tidak silap, hampir satu perempat (perbelanjaan pembangunan) bagi Sabah dan Sarawak. Sebagai Ahli Parlimen dari Sarawak, saya sangat gembira,” katanya.

Sementara itu, pada majlis itu, Riot memberitahu orang ramai bahawa jika tiada sebarang perubahan, beliau akan dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN) untuk berdiri di Serian.

Beliau juga memberitahu mereka supaya bersedia untuk PRU akan datang kerana ia boleh diadakan dengan seberapa segera dalam tempoh lima bulan akan datang.

Dalam pada itu, beliau juga berjanji untuk memberikan geran RM15,000 kepada Kampung Silanjang Sijo dan RM5,000 kepada empat kampung-kampung di sekitarnya.