Lan Berambeh di Semenanjung akan diperluas

0

RASMI SUDAH: Fadillah (tengah) memotong reben belon sebagai simbolik perasmian Lan Berambeh@Sungai Bedil sambil disaksikan Hasidah (kanan), Ahmad (kiri) serta yang lain.

KUCHING: Program Lan Berambeh yang diadakan di Semenanjung untuk anak-anak Sarawak akan diper-kembangkan dengan penambahan aktivitinya pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, program Lan Berambeh di Semenanjung sebelum ini dianjurkan dengan hanya mengadakan seminar sahaja.

“Pada tahun depan, kita akan perkembangkan program ini, pertamanya dengan persembahan kebudayaan serta jualan produk tempatan.

“Di samping itu, kita mengadakan seminar berbentuk keusahawanan dan seminar kerjaya kepada anak-anak Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Lan Berambeh@Sungai Bedil di Kampung Sungai Bedil Besar di sini, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, seminar yang diadakan bagi memberi maklumat kepada pelajar-pelajar universiti tentang peluang pekerjaan pada masa depan selain pembangunan karier.

Pada masa yang sama, kata beliau, program itu menjadi satu platform menarik golongan bijak pandai anak Sarawak di sana untuk bekerja di ne-geri ini terutamanya Koridor Tenaga Diperbaharui Sara-wak (SCORE).

Walaupun program Lan Berambeh berkenaan menumpukan kepada golongan masyarakat Sarawak yang berada di Semenanjung, ia juga kata Fadillah terbuka kepada rakyat di negeri ini.

“Kita beri peluang kepada rakyat Sarawak yang ingin mempamerkan dan mempromosikan produk mereka di Semenanjung untuk menyertai program ini,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau berkata program Lan Berambeh yang diadakan di Semenanjung me-rupakan ilham daripada Lan Berambeh yang diadakan di Sarawak termasuk Kampung Sungai Bedil.

Bagaimanapun, katanya, ia lebih kepada perjumpaan anak-anak Sarawak selain seminar kerjaya dan dianjurkan tiga kali setahun iaitu pada setiap Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai Dayak dan Tahun Baru Cina.

“Melalui program ini nanti, rakyat kita dapat berkongsi dengan masyarakat di Semenanjung selain menambah pendapatan mereka,” ujar beliau sambil memberitahu ia mampu menjadi sebahagian daripada usaha mengetengahkan produk Sarawak ke peringkat kebangsaan.

Majlis semalam turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan pengerusi pengelola Ahmad Mansor.