Makanan di hospital kerajaan dijamin halal

0

Tindakan komprehensif di semua peringkat operasi bagi pastikan keselamatan makanan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memberi jaminan semua makanan yang disediakan dan dihidangkan kepada pesakit di hospital kerajaan adalah 100 peratus halal, bersih serta berkualiti.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tindakan komprehensif diambil di semua peringkat operasi makanan, bermula dari peringkat pembentukan spesifikasi tender sehingga penghidangan di wad, bagi memastikan makanan yang dihidangkan selamat dimakan.

“Sebanyak 128 hospital Kementerian Kesihatan di bawah kendalian penyajian sepenuhnya oleh pegawai dan petugas kementerian iaitu di Hospital Pulau Pinang, Hospital Putrajaya, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang dan Hospital Sultan Ismail Johor,” katanya menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) mengenai langkah kementerian berhubung pembekalan makanan di hospital kerajaan, pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Rosnah berkata, terdapat pelbagai langkah dilaksanakan kementerian bagi menjamin standard yang ditetapkan.

“Antara langkah yang dilaksanakan ialah kontraktor hendaklah menentukan barang-barang makanan yang diserahkan mengikut spesifikasi ditentukan dalam perjanjian, manakala bagi makanan orang Islam, kontraktor hendaklah menunjukkan dengan memuaskan hati kerajaan bahawa barang-barang makanan itu bersesuaian dengan kehendak Undang-Undang dan Peraturan Agama Islam,” katanya.

Rosnah berkata, pihaknya juga berusaha memastikan semua 135 Unit dan Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital-Hospital kementerian memperoleh Sijil Jaminan Kualiti Dalam Penyediaan Makanan (GMP) daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata, 10 hospital di bawah kementerian sudah menerima GMP iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Hospital Muadzam Shah, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Hospital Jerantut, Hospital Raub, Hospital Kuala Lipis, Hospital Jengka serta Hospital Bentong di Pahang, Hospital Kuala Kubu Baharu di Selangor dan Hospital Langkawi di Kedah.

“Hospital Serdang, Selangor memperoleh persijilan ‘Hazard Analysis and Critical Control Point’ (HACCP) pada 2009 selain hospital lain sedang berusaha memperoleh GMP, dan ini dapat dicapai sepenuhnya pada akhir 2014,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa memantau dan mengadakan pemeriksaan mengejut di kilang serta pusat pemprosesan bagi makanan yang dijamin halal.

“Kementerian Kesihatan hanya membenarkan kontraktor dan pembekal makanan yang memperoleh sijil halal dari JAKIM membekalkan makanan, dan mana-mana yang diragui tidak dibenarkan memasuki kontrak di hospital,” katanya. — Bernama