Malaysia, Myanmar fikir idea pertukaran tahanan imigresen

0

PERBINCANGAN: Hishammuddin berbincang sesuatu bersama Timbalan Menteri Luar Negeri Republik Kesatuan Myanmar, U Maung Myint serta rombongan semasa kunjungan rasminya di Bangunan Parlimen, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Myanmar sedang memikirkan kemungkinan melaksanakan program pertukaran untuk tahanan imigresen, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ketika ini, katanya, sekitar 1,000 warga Myanmar ditahan di depot tahanan di negara ini. Bagaimanapun, bilangan tahanan imigesen warga Malaysia di Myanmar tidak dinyatakan.

“Cadangan itu akan membantu mengurangkan bilangan tahanan di depot serta ini menunjukkan hubungan baik antara Malaysia dan Myanmar berkaitan dengan imigresen dan pergerakan pekerja di rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Luar Myanmar, U Maung Myint, di sini, semalam.

Sejumlah 257,000 warga Myanmar telah berdaftar di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) di mana 144,098 merupakan pendatang tanpa izin.

Program 6P merupakan pendekatan terkini oleh kerajaan untuk memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia bermula dengan pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguaktkuasaan dan pengusiran.

“Oleh kerana bukan semua pendatang asing tanpa izin Myanmar akan mendapat pekerjaan, maka kerjasama antara kedua-dua negara itu penting bagi memastikan proses penghantaran pulang berjalan lancar,” kata Hishammuddin.

Katanya, Malaysia dan Myanmar akan menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja bersama bagi menangani soal imigresen serta isu berkaitan jenayah dengan mesyuarat pertama jawatankuasa itu dijangka diadakan minggu depan.

Hishammuddin berkata, Kuala Lumpur akan berkerjasama rapat dengan Myanmar bagi membanteras jenayah merentas sempadan membabitkan aktiviti dadah, penyeludupan senjata dan pemerdagangan manusia.

“Isu dokumen perjalanan palsu juga akan menjadi tumpuan dengan 46 kes membabitkan warga Myanmar dikesan sepanjang tahun lepas manakala 13 kes sehingga Ogos tahun ini,” katanya. — Bernama