Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Empat kapal kargo ditahan
Empat kapal kargo ditahan
by AMIR ANUAR. Posted on October 20, 2011, Thursday

PERIKSA… Anggota PGM memeriksa muatan buah kelapa sawit di salah sebuah kapal kargo yang dikesan menyeludup masuk komoditi terbabit ke negeri ini dari Indonesia.
PGM PATAHKAN CUBAAN SELUDUP MASUK KELAPA SAWIT DARI NEGARA JIRAN
TAWAU: Cubaan 10 lelaki warga Indonesia menyeludup masuk 46 tan buah kelapa sawit tanpa permit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi empat kapal kargo ke daerah ini berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tawau di sini Sabtu lepas.
Pemangku Pegawai Pemerintah PGM Tawau, ASP Mohamad Ismail, berkata ekoran penahanan itu, pihaknya telah berjaya melakukan rampasan bernilai kira-kira RM136,600 melibatkan komoditi buah kelapa sawit dan kapal-kapal kargo asing terbabit.
“PGM Tawau telah memberkas keempat-empat kapal kargo ini di dua kawasan berasingan pada 15 Oktober lepas di antara jam 1.30 dan 2 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Mohamad berkata rampasan pertama dilakukan oleh empat anggotanya di Muara Sungai Serudong, manakala rampasan kedua pula membabitkan penahanan di kawasan Jeti Sungai Hj Matahir, Bombalai di sini.
Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, kapal-kapal kargo terbabit didapati didaftarkan di Nunukan, Indonesia dan membawa muatan dari Sebakis, Nunukan tanpa memiliki dokumen ataupun permit jualan import dan eksport dari pihak MPOB.
“Kes ini merupakan kes pertama seumpamanya yang melanggar peraturan MPOB pada tahun ini,” katanya sambil menambah kesemua lelaki yang berusia 24-39 tahun terbabit kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 55A dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen.

