Pustaka Miri anjur pelbagai aktiviti sepanjang bulan ini

0

MIRI: Pustaka Miri telah menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Oktober ini dalam usaha memberikan pengetahuan dan informasi berguna kepada masyarakat setempat.

Semalam, Pustaka Miri telah mengadakan sesi Bacaan Kegemaran Saya yang diadakan di Bilik AV Pustaka Miri bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Sesi berkenaan mendapat sambutan mengalakkan daripada kira-kira 60 pelajar dan guru di sekitar bandar raya Miri.

Ia dikendalikan oleh penceramah berpengalaman, Luke Bong Yew dan para tetamu turut terlibat dalam aktiviti yang diadakan.

Sesi tersebut turut diselitkan dengan perkongsian oleh Pustawan Lilian Baun Pulo yang berkongsi tentang pendapat beliau mengenai buku bertajuk ‘Too Busy For Your Own Good: Get More Done In Less Time’ dikarang oleh Connie Merritt, manakala pelajar Tingkatan Empat SMK Baru, Valerie Aida Wan berkongsi tentang buku kegemarannya ‘Petua Untuk Sentiasa Ceria yang ditulis oleh Dato Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Sementara itu, Pustaka Miri menjemput orang awam khususnya ibu bapa menyertai ceramah kesihatan mengenai Keracunan dan Kemalangan di Rumah di Kalangan Kanak-kanak yang akan diadakan pada Rabu depan (26 Oktober).

Ceramah tersebut akan bermula pada jam 2.30 petang di Auditorium Pustaka Miri yang akan dikendalikan oleh Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Miri Dr The Sia Hean.

Antara objektif utama program tersebut diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran awam tentang aspek keselamatan kanak-kanak di dalam rumah.

Dalam pada itu, Pustaka Miri turut melanjutkan tempoh pameran Hero Sarawak: Rosli Dhoby hingga Isnin depan (24 Oktober), atas permintaan orang awam.

Pameran berkenaan akan dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Kemasukan bagi kesemua aktiviti tersebut adalah percuma dan untuk keterangan lanjut, sila hubungi Pustaka Miri di talian 085-422525.