Pemeriksaan mengejut alat timbang

0

PEMERIKSAAN MENGEJUT: Geoffrey (kanan) memeriksa alat timbang seorang penjual ikan di Pasar Sentral dalam satu pemeriksaan mengejut, pagi semalam.

SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sibu melakukan pemeriksaan mengejut terhadap alat timbang penjual ikan di Pasar Sentral semalam berikutan terdapat aduan mengenai penjual ikan yang mengubah suai alat timbang untuk mendapatkan keuntungan lebih.

Timbalan Ketua KPDNKK Sibu, Geoffrey Gumalang mengesahkan, pihaknya telah menerima dua aduan baru-baru ini berhubung kesalahan terbabit daripada pengguna, yang membawa kepada pemeriksaan mengejut alat timbang itu semalam.

“Amalan perniagaan tidak sihat itu akan membebankan pengguna terutama yang berpendapatan rendah. Kita telah menerima dua aduan di mana pengadu mendakwa jarum alat timbang yang digunakan berada pada angka sifar sebelum pinggan alat timbang itu diletakkan di atasnya.

“Oleh itu, pengguna telah kerugian sejumlah berat sebelum barang yang dibeli oleh mereka ditimbang,” ujarnya selepas mengetuai 14 pegawai penguat kuasa KPDNKK membuat pemeriksaan mengejut sempena skim barang harga terkawal Deepavali 2011, semalam.

Menurut Geoffrey, penjual ikan yang terbabit boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara, jika sabit kesalahan.

Meskipun pemeriksaan semalam gagal menemui penjual ikan yang mengubahsuai alat timbang mereka, beliau mengingatkan pihak terbabit agar mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Kita tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan terhadap peniaga yang tidak beretika,” jelasnya.

Dalam pemeriksaan hampir sejam itu, pihak KPDNKK turut mengingatkan peniaga di pasar basah yang menjual barang kawalan seperti ayam, tomato, telur dan sebagainya, agar mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu.

Ini, katanya, bagi memudahkan pengguna membezakan antara barangan kawalan dengan barangan yang tidak disenarai dalam skim barang harga terkawal sempena Deepavali, yang bermula semalam hingga 30 Oktober.

Geoffrey juga mengingatkan peniaga agar tidak menaikkan harga 14 jenis barang yang disenaraikan di bawah skim tersebut, atau dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.