Bekalan beras negara cukup

0

BINTANGOR: Bekalan beras bagi negara ini pada masa kini masih mencukupi dan terkawal walaupun negara pembekal utama beras negara iaitu Thailand dilanda bencana banjir, kata Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Katanya, walaupun terdapat beberapa kesan sampingan daripada keadaan tersebut, orang ramai dan masyarakat diharap tidak melakukan pembelian secara panik terhadap bahan terbabit kerana sikap seperti ini boleh memburukkan lagi keadaan.

Beliau berkata, pihaknya telah memantau bekalan beras negara pada masa kini dan ia mencukupi bagi kegunaan rakyat di negara ini pada masa kini.

Katanya, rakyat tidak perlu bimbang terhadap keadaan tersebut kerana kerajaan mempunyai strategi yang tersendiri dalam mangatasinya dan apa yang penting sekali ialah kerjasama daripada pengguna (rakyat) amat diperlukan agar tidak melakukan pembelian secara panik.

Wan Ahmad Uzir turut menegaskan bahawa masalah tersebut dan masalah lain  yang berkaitan memang tidak dapat dielakkan daripada berlaku terutama dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu pada masa kini.

“Kenaikan harga barang seperti makanan pada setiap hari di pasaran, mungkin tidak dapat dielakkan kerana kadar pertumbuhan penduduk telah meningkat dua kali ganda daripada pengeluaran bahan makanan.

“Namun begitu semua ini dapat kita atasi jika seseorang pengguna itu bijak dalam memainkan peranannya iaitu dengan menggunakan dan memanfaatkan hak mereka dengan betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penutupan Projek Perintis Program Kepenggunaan di SK Abang Amin Bintangor, semalam.

 

 

Tambahnya, penguna yang bijak ialah pengguna yang tahu tentang perbelanjaan berhemat iaitu hanya membeli barang yang perlu dan sihat sahaja.

 

 

“Seperti isu kekurangan minyak makan pek plastik baru-baru ini, bukan kerana kekurangan bekalan tetapi ia disebabkan oleh sikap segelintir pihak yang membeli bahan terbabit dalam kuantiti yang besar bagi kegunaan sendiri.

“Sebenar minyak makan dalam pek plastik disediakan bagi membantu golongan kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah, tetapi apa yang menjadi masalahnya ialah para pengusaha restoran atau premis makanan yang besar turut mengguna produk berkenaan dan tidak menggunakan pakej yang telah disediakan khas buat mereka iaitu minyak makan dalam botol berkuantiti melebihi lima kilogram,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut menyeru kepada pihak-pihak terbabit agar menggunakan kemudahan yang telah disediakan kepada mereka dan memberi kerjasama kepada pihak yang tidak berkemampuan ini agar dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung.