PBSM Cabang Miri perlu lebih mempromosikan visi, misinya

0

UNTUK MASYARAKAT: Lee (tengah) bersama ahli jawatankuasa dan para peserta Bengkel Pembangunan Organisasi anjuran PBSM, semalam.

MIRI: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cabang Miri perlu lebih mempromosikan visi dan misi khususnya melalui aktiviti kemanusiaan dan sukarelawan dalam memberikan khidmat kepada ahli dan masyarakat setempat.

Menteri Muda Perhubungan dan Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin berkata sebagai sebuah organisasi yang membantu masyarakat setempat, PBSM harus lebih memperkenalkan objektif utamanya bagi meningkatkan kesefahaman masyarakat.

“PBSM harus lebih bekerjasama dalam menyampaikan mesej kepada ahli dan masyarakat setempat akan fungsi utama organisasi ini ditubuhkan.

“Justeru, PBSM perlu juga mempromosikan pelbagai aktiviti kemanusiaan serta penglibatan sukarelawan di kalangan PBSM dalam memberikan khidmatnya kepada orang awam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Bengkel Pembangunan Organisasi anjuran PBSM untuk ahlinya, di sini semalam.

Lee yang juga Timbalan Pengerusi PBSM berharap PBSM memperbanyakkan pelbagai program dan aktiviti terutama dalam menarik minat golongan belia untuk menyertainya.

“Sebagai sebuah organisasi yang semakin berkembang, PBSM perlu memperbanyakkan aktivitinya dalam menarik belia untuk memberikan khidmat mereka kepada masyarakat,” ujar beliau.

Mengulas mengenai majlis tersebut, Lee mahu PBSM terus memperhebatkan lagi pengetahuan serta kemahiran pengurusan sukarelawan ahlinya menerusi bengkel atau seminar sedemikian.

“Seperti yang kita ketahui, PBSM adalah organisasi yang fokus kepada sukarelawan dalam membantu masyarakat.

“Oleh itu, adalah menjadi cabaran untuk PBSM menambahkan keahliannya untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Bahkan, bengkel ini juga merupakan salah satu latihan dalam meningkatkan pengetahuan ahlinya,” katanya sambil menambah, PBSM juga sebuah organisasi yang mempromosikan nilai kemanusiaan tanpa melihat bangsa, agama dan latar belakang seseorang.

Sementara itu, seramai 30 ahli PBSM telah menyertai bengkel terbabit semalam.