Site Last Updated 3:51 pm, Friday

UNIMAS bantu tarik kembali anak Sarawak di luar negara

Posted on October 24, 2011, Monday

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan membantu kerajaan negeri dalam menarik dan melibatkan lebih ramai rakyat tempatan, yang bekerja di luar negara untuk kembali semula menabur khidmat dan bakti di Sarawak, khasnya di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Naib Cancelor UNIMAS Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid berkata inisiatif tersebut diambil melalui satu kajian yang sedang dijalankan dengan kerajaan negeri yang melibatkan pengambilan tenaga kerja strategik untuk SCORE.

“Pihak kerajaan melalui pelaksanaan SCORE dapat menarik mereka kembali semula dengan menawarkan pekerjaan yang lebih terjamin, ekonomi yang lebih mantap dan cara hidup yang lebih maju dan selesa,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-15 UNIMAS yang dihadiri 1,517 graduan prasiswazah dan 134 graduan pascasiswazah di sini, semalam.

Dr Khairuddin berkata UNIMAS juga telah berjaya melaksanakan projek pengelektrikan luar bandar (rural electrification) dengan dana RM4 juta kerajaan melalui Pusat Kecemerlangan bagi Tenaga Diperbaharui (CoERE) serta memeterai perjanjian bersama Pusat Sumber Genom Malaysia (MGRC) untuk projek Genom Primat bernilai RM500 juta baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datuk Dr Hatta Solhi berkata lebih ramai anak-anak dari Semenanjung berpeluang melihat dan belajar mengenai kehidupan harmoni di Sarawak berlandaskan konsep 1Malaysia yang sudah lama dipraktikkan di sini dengan adanya tambahan bilangan pelajar di UNIMAS.

Ia juga memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi di Kota Samarahan, khususnya dan Sarawak amnya melalui penciptaan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada anak tempatan pada masa kini dan akan datang, katanya.

Katanya jumlah pengambilan pelajar telah bertambah secara drastik bagi semester baru ini berbanding beberapa semester yang sebelumnya dengan sebanyak 3,436 pengambilan, yang merupakan antara yang terbesar di Malaysia.

UNIMAS mempunyai 167 pelajar antarabangsa daripada sejumlah 11,200 pelajar pada masa ini. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.