Monday, March 1

Pertandingan Reka Cipta Logo platform semarak semangat perpaduan, harmoni

0

MENANG: Ellie bersama logo hasil rekaannya yang telah dipilih pada Pertandingan Reka Cipta Logo Yayasan Perpaduan Sarawak di Kuching semalam.

KUCHING: Pertandingan Reka Cipta Logo anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) platform terbaik untuk menyemarakkan semangat perpaduan dan harmoni di kalangan belia.

Pemenang pertandingan berkenaan Ellie Yong, 18, dari Miri berkata penganjuran aktiviti seperti ini memberi peluang kepada mereka (belia) untuk turut serta menjayakan matlamat negeri melalui YPS.

Pelajar semester dua daripada The One Academy Kuala Lumpur dalam bidang Komunikasi dan Reka Cipta ini berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Logo dan Penyampaian Hadiah di sini semalam.

Ellie ketika ditemui memberitahu, idea untuk menghasilkan logo tersebut tercetus dengan melihat kepada kumpulan belia berbilang kaum bersatu menerusi budaya dalam menjunjung perpaduan negara.

“Saya mengetahui mengenai pertandingan daripada ibu saudara saya dan dia telah menghantar borang penyertaan kepada saya menerusi faks.

“Idea untuk logo ini tercetus dua minggu selepas itu dan mengambil masa seminggu untuk disiapkan seperti yang dapat kita lihat hari ini,” kata anak sulung kepada tiga orang adik-beradik ini.

Hasil ciptaan itu, Ellie membawa pulang wang tunai RM3,000 dan logo ciptaannya dijadikan sebagai logo rasmi YPS.

Logo ciptaan Ellie, jelas menggambarkan semangat perpaduan di kalangan belia pelbagai kaum di negeri ini.

Penggunaan alat muzik seperti gendang pada logo tersebut menggambarkan belia bersatu antara satu sama lain menerusi seni muzik.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang seni, Ellie, yang mengambil jurusan Komunikasi dan Reka Cipta di salah sebuah akademi di Kuala Lumpur menunjukkan semangat perpaduan menerusi hasil rekaannya.

Memulakan pengajian awal di SRB Chuang Hua di Miri, Ellie kini menetap di Kuala Lumpur bersama keluarganya yang menjalankan aktiviti perniagaan.

Selain Ellie, tujuh lagi peserta turut menerima hadiah masing-masing yang telah disampaikan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Amanah YPS Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Pemenang tempat kedua dan ketiga, Tang Sing Moi dan Muhammad Mateen Poster masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000.