UNIMAS lahirkan seorang lagi graduan kaum Penan

0

TAHNIAH: Roland bersama ibu bapanya melihat sijil Ijazah Sarjana Muda Kajian Komunikasi yang diterimanya semasa Konvokesyen Ke-15 UNIMAS, Kota Samarahan kelmarin.

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sekali lagi berjaya melahirkan graduan daripada kaum Penan buat kali kedua kelmarin (Ahad).

Roland Allen, 24, dari Long Main, Ulu Baram kini bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Kajian Komunikasi yang diterimanya pada majlis Konvokesyen Ke-15 Unimas bagi hari kedua.

Walaupun tinggal jauh di pedalaman, ia tidak menjadi batu penghalang bagi Roland untuk mengejar cita-citanya iaitu menggenggam segulung ijazah.

Dia anak keempat daripada tujuh adik-beradik merupakan satu-satunya anak yang memiliki sijil pendidikan tinggi berbanding adik-beradiknya lain yang hanya belajar hingga Tingkatan Lima.

“Kini saya bekerja di sebuah syarikat di sektor swasta dan jika ada rezeki yang lebih saya berkeinginan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo selepas majlis konvokesyen di sini semalam.

Tambahnya, walaupun tinggal berjauhan daripada keluarga, ia menjadi batu lonjatan kepadanya untuk belajar lebih gigih sehingga ke tahap itu.

“Di kampung saya, talian telefon tidak begitu baik, jadi sukar untuk saya berhubung dengan ibu bapa saya di sana (Long Main)… hanya gambar dapat menghilangkan rasa rindu saya kepada mereka (ahli keluarga).

“Dan untuk ke sini (UNIMAS) perjalanannya agak jauh kerana memerlukan dua hari perjalanan menerusi penerbangan barulah sampai ke Kuching.

“Namun, ia bukan penghalang, di mana ada kemahuan di situ ada jalan kejayaan” katanya sambil menambah kegigihan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu perlu ada dalam diri seseorang untuk menuju kejayaan.

Sementara itu bapanya, Allen Bong, 54 yang hanya bekerja sebagai petani berkata, kejayaan anaknya itu adalah satu kejayaan yang besar buat keluarganya.

“Dialah satu-satunya anak kami yang berjaya hingga ke tahap ini (ijazah sarjana muda) dan ini akan menjadi contoh kepada adik-adiknya yang lain untuk berjaya seperti abangnya,” katanya.

Ibu Roland Lily Sakun, 55, suri rumah turut melahirkan rasa gembira atas kejayaan anaknya hingga tidak dapat mengungkapkannya dengan kata-kata.

Difahamkan, graduan pertama dari suku kaum Penan Unimas ialah Ezra Uda pada 2003.