Tambah tentera dari Sarawak: Mong

0

UNTUKMU: Mong (kanan) menyerahkan cek sumbangan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Spencer (tengah) di Sri Aman, semalam.

Jumlah penyertaan rakyat Sarawak amat minimum disebabkan faktor kuota SRI AMAN: Jumlah penyertaan rakyat Sarawak dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ternyata amat minimum pada masa sekarang disebabkan faktor kuota yang ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.

Sehubungan itu Menteri Muda Pelancongan Datuk Mong Dagang berharap kerajaan mengkaji semula perkara itu untuk membolehkan lebih ramai penyertaan anak Sarawak dalam ATM nanti.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan Malaysia perlu menambah lebih banyak kuota pengambilan anggota tentera untuk orang Sarawak.

“Usaha pihak kementerian untuk mengkaji semula perkara ini adalah amat penting agar orang Sarawak diberi lebih banyak peluang menceburi profesion ketenteraan nanti,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Permodenan Pertanian berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Bahagian Ke-54 Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Pingat Setia Sentiasa Berjuang kepada Sulaiman Nyandang dan Ajun Lasu serta penyampaian bantuan kebajikan kepada 10 penerima.

Mong berkata, ATM disertai oleh golongan profesional dan berpendidikan tinggi seperti dari universiti atau kolej ketika ini.

“Ini menjadikan ATM dipandang tinggi oleh semua orang, maka saya berharap agar belia hari ini menceburi bidang ketenteraan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhit, Yang Dipertua PBTM Bahagian Negeri Sarawak Spencer Birai dan ketua-ketua masyarakat sekitar Sri Aman.