India sedikit bukan alasan tidak isytihar Deepavali cuti umum: Masing

1

KUCHING: Menteri Kanan Tan Sri James Masing berkata jumlah populasi kaum India yang sedikit di Sarawak tidak harus dijadikan alasan untuk kerajaan pusat tidak mengisytiharkan Deepavali sebagai cuti umum di negeri ini.

Beliau memberitahu meskipun populasi India tidak ramai di Sarawak, mereka merupakan penduduk tetap negeri ini dan rakyat yang setia kepada negara.

“Adakah Sarawak bukan (dalam) Malaysia, apabila kita bercakap tentang Malaysia ia mesti seluruh Malaysia.

“Jadi kerajaan harus mengisytiharkan cuti umum sempena Deepavali di Sarawak lebih-lebih lagi apabila kita melihat konsep 1Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Konvokesyen Swinburne University of Technology di sini semalam.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah mengakui beliau terkejut apabila Deepavali tidak diumumkan sebagai cuti umum di Sarawak seperti di Semenanjung Malaysia.

Menjelas lanjut mengenai perkara itu beliau berkata keputusan sama ada Deepavali dijadikan cuti umum di Sarawak atau sebaliknya adalah bidang kuasa kerajaan pusat bukannya kerajaan negeri.

“Pengisytiharan dibuat oleh kerajaan persekutuan. Kita (kerajaan negeri) tidak boleh mengumumkan cuti untuk negeri Sarawak kerana ia bukan bidang kuasa kita,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan pusat perlu memutuskannya (cuti) secara automatik tanpa perlu didesak oleh kerajaan Sarawak.

“Di bawah peruntukan undang-undang sudah tentu beberapa hari dibenarkan sebagai cuti umum setiap tahun dan jika Deepavali diumumkan sebagai cuti umum untuk Sarawak, maka kerajaan (pusat) melihat mana-mana cuti lain perlu dimansuhkan,” ujarnya.