PUSPEL terima hampir setengah juta aduan sehingga September

0

SHAH ALAM: Talian pusat perkhidmatan pelanggan (PUSPEL) Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menerima hampir setengah juta panggilan berhubung pelbagai aduan berkenaan perkhidmatan air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sehingga September lepas.

Pengarah Eksekutif Bahagian Projek dan Air Tanpa Hasil (NRW) Yusof Badawi berkata, sejumlah 425,190 panggilan direkodkan di mana 164,786 daripadanya berjaya ditangani oleh pihak SYABAS sebaik menerima laporan.

Beliau berkata, antara laporan yang diterima daripada pengguna ialah berkaitan kes paip pecah, paip bocor dan kualiti air menerusi talian PUSPEL 1800-88-5252 yang beroperasi 24 jam sepanjang tahun. — Bernama

“Keprihatinan pengguna menerusi panggilan yang dibuat juga turut membantu menurunkan kadar NRW di tiga negeri selain beberapa program lain yang dijalankan oleh SYABAS termasuk penggantian paip perhubungan dan pemantauan paip pecah secara berterusan,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang cabutan bertuah pelanggan prihatin SYABAS di sini semalam.

Yusof berkata, sehingga kini kadar NRW di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur menurun kepada kira-kira 32.4 peratus di mana ia sejajar dengan sasaran SYABAS untuk menurunkan kadar NRW daripada 42.78 peratus pada 1 Jan 2005 kepada 15 peratus pada 31 Dis 2015.

Terdahulu seramai 15 pelanggan prihatin SYABAS menerima hadiah masing-masing seperti televisyen Plasma 43 inci, televisyen LCD 22 inci, set sistem teater rumah, pemain DVD dan ketuhar gelombang mikro.

Bagi dua pemenang iatu M. Singgama dan R. Subramaniam masing-masing yang membuat laporan berkenaan kejadian paip pecah dan gangguan bekalan air di Banting dan Setapak tidak menduga terpilih sebagai pemenang pelanggan prihatin.

Singgama yang memenangi televisyen LCD dan Subramaniam pula membawa pulang ketuhar gelombang mikro menganggap kemenangan itu sebagai hadiah sempena sambutan Hari Deepavali. — Bernama