Kanak-kanak perempuan hilang selepas bermain dengan kawan

11

SITI NOR HAJAR

BINTULU: Seorang Ibu tidak menduga anak perempuannya yang berusia enam tahun hilang begitu sahaja selepas bermain dengan kawan-kawannya berdekatan dengan rumahnya di Kampung Baru Laut di sini lewat petang kelmarin (Ahad).

Bahkan sebelum kehilangannya, kanak-kanak itu yang dikenal pasti sebagai Siti Nor Hajar Mohd Rashidi sempat memesan kepada ibunya untuk membeli buah rambutan.

Kali terakhir ibunya melihat anaknya itu adalah pada jam 2.30 petang kelmarin di rumahnya di sini.

Ibu kanak-kanak itu, Suriana Yunus, 27, berkata anaknya itu berkeadaan seperti biasa bahkan setiap kali dia ke pasar anaknya itu selalu memesan membeli barang makanan untuknya.

“Kelmarin anak saya ada memesan membeli buah rambutan. Dia cakap hendak makan buah itu.

“Saya pun membelinya tetapi bila saya balik dari pasar saya mencarinya dan saya tidak nampak kelibatnya di rumah dan kawasan tempat dia bermain.

“Rambutan yang anak saya pesan itu masih ada saya simpan. Saya tiba di rumah sekitar 7 malam kelmarin selepas membeli barang di kedai. Saya memanggil anak saya tetapi dia tidak menyahut.

“Lantas saya pergi mencarinya di sekitar tempat dia bermain dan rumah jiran, saya mencarinya dengan menunggang motosikal namun saya hampa tidak menjumpainya,” katanya dengan nada sebak semasa ditemui di Kampung Baru Laut di sini semalam.

Suriana berkata, anak sulungnya itu sebelum ini bersama adiknya bermain di kawasan kampung berdekatan dengan rumahnya di sini dan hilang antara jam 5 dan 6 petang.

“Adiknya Mohd Fadzley, 4, ada memberitahu saya yang kakaknya ada mengikut seseorang. Tetapi tiada saksi lain yang melihatnya.

“Saya tidak pasti sama ada anak saya itu jatuh dalam sungai, disembunyi makhluk halus atau di bawa orang lari. Itu hanya sangkaan saya,” jelasnya yang dikurniakan dua cahaya mata dan telah 11 bulan bercerai dengan suaminya.

Sambil tidak menyangka kejadian itu akan menimpa katanya: “Setiap kali saya membeli barang di kedai saya selalu meninggalkan dua anak saya dengan adik-beradik saya dan nenek mereka dan mengharapkan mereka menjaganya, namun saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku kerana perkara sebegini tidak pernah terjadi.

“Saya tidak mahu tuduh sesiapa mengambil anak saya itu. Polis pun telah menyiasat dan kini sedang giat mencari anak saya itu. Mungkin ada orang lain yang mengambilnya,” katanya.

Ujarnya, beberapa usaha lain yang telah saya lakukan ialah dengan menggunakan khidmat empat orang bomoh dan ada bomoh memberitahu yang anak saya disembunyikan oleh makhluk halus, ada yang mengatakan anak saya itu diculik orang dan takut untuk memberi kepada saya balik, ada yang mengatakan anak saya jatuh dalam sungai.

“Pelbagai versi cerita yang berbeza saya terima. Di samping itu ada juga saya diberitahu oleh bomoh yang anak saya itu disembunyi oleh orang yang dekat-dekat dengan kawasan kampung ini.

“Pihak polis dan pihak berkuasa lain juga telah pun bertindak mencari anak saya itu dan saya juga telah mengedarkan gambar mengenai kehilangannya di semua tempat dan pasar di sini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini anaknya itu belum dijumpai dan khabar mengenainya juga belum diterima.

“Saya telah pun membuat laporan polis sekitar jam 7.30 pagi tadi (semalam),” katanya sambil menambah anaknya merupakan murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu di sini dan tahun depan akan memasuki Tahun Satu.

Katanya, dia juga telah pun memaklumkan mengenai kehilangan anak saya itu kepada guru-gurunya di sekolah.

Justeru katanya, dia merayu sesiapa yang ada melihat atau kenal dengan anaknya agar menghubunginya di talian 013-8480265 atau bapanya, Mohd Rashidi (014-5978414) atau memaklumkan kepada balai polis terdekat.

Usaha untuk menjejaki Siti Nor Hajar juga kini giat dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Marin (PGM) sama ada di darat dan sungai. Mereka turut berada di Kampung Baru Laut di sini untuk operasi mencari Siti Nor Hajar semalam.